klik untuk ke blog di alam angker

Tuesday, April 27, 2010

Tamadun 1900 tahun di Merbuk


Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (berbaju biru-dua dari kiri) melihat tapak penggalian sambil diberi penerangan oleh kakitangannya berkaitan penemuan dua tapak tinggalan sejarah di Sungai Batu,Lembah Bujang Merbok.


LEMBAH Bujang merangkumi keluasan kira-kira 300 kilometer persegi bermula dari Gunung Jerai di daerah Kuala Muda, Kedah hingga menyeberangi Sungai Muda memasuki kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ia merupakan kawasan peradaban tertua di Asia Tenggara dengan mula dikenal pasti berdasarkan penemuan lebih 20 candi oleh Kapten James Low pada tahun 1840.

Ekskavasi yang dijalankan sebelum ini juga mendapati kawasan tersebut merupakan sebuah pelabuhan utama di Asia Tenggara.

Penemuan candi-candi lama dan artifak yang dikatakan bertarikh abad ke-6 hingga 12 Masehi turut menjurus kepada pelbagai kisah peradaban.

Namun begitu, ia tidak dapat dibuktikan kesahihan berikutan tarikh yang diberikan hanyalah anggaran dan mempunyai banyak kelemahan.

Keadaan tersebut mendorong kepada masalah kekurangan pengetahuan tentang kewujudan tamadun awal di negara ini.

Menyedari hakikat berkenaan, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah merancang pelan penyelidikan lengkap untuk mencari tapak baru dan meminta bantuan pakar arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian menyeluruh di Lembah Bujang.

Baru-baru ini, sekumpulan ahli arkeologi USM berjaya menemui sebuah pusat tamadun yang dilengkapi monumen dan batu bersurat berusia lebih 1,900 tahun di Sungai Batu, Merbok.

Lebih menakjubkan, misi penyelidikan yang diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin itu membuktikan adanya kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah yang serba lengkap dengan konsep keagamaan, sosioekonomi dan perdagangan.

Penyelidikan di kawasan seluas tiga kilometer persegi di sebuah ladang sawit di tepi Jalan Lencongan Merbok itu turut meletakkan ia sebagai pusat tamadun sejarah terawal di Asia Tenggara. Ia mengatasi Angkor Wat di Kemboja yang wujud sekitar abad ke-12 Masihi dan Borobodur, Indonesia (abad ke-9 Masihi).

Menurut Mokhtar, penyelidikan itu bermula pada tahun 2007 apabila pihaknya yang diberikan tanggungjawab oleh JWN menemui sebuah tapak baru berdekatan Sungai Batu Besi melalui kaedah pemetaan awal.

Katanya, para penyelidik mengesan 30 bukit kecil atau dalam bahasa saintifik dikenali sebagai 'mound' di kawasan itu yang dijangka mempunyai pelbagai fungsi seperti kediaman dan pemerintahan.

Bertitik tolak dari situlah, proses ekskavasi dimulakan pada 1 Februari 2009 melibatkan kira-kira 70 orang staf PPPAG, penuntut jurusan arkeologi USM dan kakitangan Muzium Arkeologi Lembah Bujang serta penduduk setempat.

Hasil pertemuan itu kemudiannya didedahkan kepada pengetahuan umum pada 4 Mac 2009. Pada ketika itu, para penyelidik berjaya menjumpai dua artifak prasejarah berupa bangunan dan kilang melebur besi sekitar abad ke-3 Masihi.

Misi penyelidikan tersebut diteruskan para dengan bantuan beberapa tokoh akademik seperti Profesor Sam Teng Wah (pakar kimia); Profesor Ruslan Rainis (pakar data sistem maklumat geografi); Profesor Madya Dr. Nawawi Nordin (pakar data geofizik); Profesor Madya Dr. Wan Fauzy (pakar penggambaran) dan Profesor Madya A. Rahman (pakar data seni kreatif) serta beberapa penuntut peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
Tidak lama selepas itu, ia berjaya menghasilkan perkembangan positif dengan penemuan satu kompleks baru berserta 90 tapak di kawasan berkeluasan 3 kilometer persegi itu.

Mokhtar memberitahu, kompleks dan monumen tersebut disifatkan penting kerana ia merupakan kunci untuk membuka sejarah tamadun awal negara.

"Kajian saintifik ke atas 10 tapak telah berjaya menonjolkan Malaysia sebagai kawasan tamadun sejarah terawal di Asia Tenggara," katanya.

Bukti-bukti lain seperti tapak peleburan besi, dewan, bangunan, upacara amal, batu bata, atap genting, tembikar dan lain-lain telah memberikan interpretasi jelas tentang kefahaman sejarah warisan lebih menyeluruh.

Lebih penting lagi, satu batu bersurat yang ditemui turut mengukuhkan lagi bukti kewujudan tamadun tersebut.
Batu bersurat terbabit ditulis dalam bahasa Sanskrit Pallava yang berkisar kepada kepercayaan Buddha, animisme dan fahaman spiritual masyarakat purba di Sungai Batu.

Ekoran penemuan berkenaan juga, para penyelidik telah mendapatkan pengesahan pentarikhan di beberapa makmal termasuklah di Beta Analytic Lab di Amerika Syarikat, University Oxford, University of Washington dan Korea Basic Science Institute di Korea menerusi kaedah 'Radio Carbon' dan OSL (Optically Stimulated Luminescence).

"Hasil yang diperoleh menunjukkan tarikh sah bahan sejarah tersebut ialah pada tahun 110 Masehi," kata Mokhtar.

Ketika ditanya tentang pemilihan lokasi Sungai Batu sebagai pusat tamadun oleh masyarakat purba, beliau memberitahu, data geofizik menunjukkan kawasan tersebut mempunyai jarak kira-kira dua kilometer dari sungai dan paya bakau.

"Ini bermakna, besar kemungkinan kawasan sekitar Sungai Merbok yang sekarang jaraknya kira-kira lima kilometer dari pusat tamadun, dahulunya adalah lautan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, penyelidikan kawasan tersebut perlu diteruskan memandangkan ia berpotensi untuk memberikan kepelbagaian bukti lain yang dapat mengukuhkan kajian ketamadunan negara.
"Ia sangat penting untuk membolehkan kita menonjolkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kedudukan penting dalam Asia Tenggara sejak dahulu kala lagi," tegasnya.

No comments:

Post a Comment