klik untuk ke blog di alam angker

Wednesday, April 14, 2010

TAKDIR 

episode 21




“Shima, abang ada perkara nak bagi tahu Shima.” Azmy menyandar di katil. Shima menoleh ke arah Azmy.

“Apa dia? Berita baik?” Shima bertanya lembut.

“Kawan abang kat Syarikat Suria offer abang kerja semula di syarikat itu. Dan, abang fikir, dengan bekerja kat sana, mungkin abang akan dapat ingatan abang balik. Mira pun janji nak tolong abang,” Shima tersentak. Wajahnya berubah sebaik sahaja mendengar nama Mira meniti dibibir suaminya.

“Owh!!!! Saya tak kisah. Yang penting abang sihat,” Azmy angguk kepala.

Semenjak Azmy bekerja semula, tugas Shima sebagai isteri, ibu dan pekerja semakin bertambah. Azmy pula selalu balik lambat dengan alasan banyak kerja di pejabat. Masa untuk mereka bersama juga semakin terhad dan semakin hari hubungan mereka semakin renggang.

“Azmy, sini sekejap. Mama ada perkara nak tanya ni,” Azmy menghampiri mamanya.

“Kenapa sejak akhir-akhir ni, Azmy selalu balik lambat? Banyak kerja kat pejabat tu?” Azmy garu kepala.

“Takdelah banyak sangat. Tapi, memandangkan keadaan saya ni, banyak yang perlu saya pelajari,” Shima hanya menjadi pendengar setia. Malas mahu bertanya. Dia seperti dapat mengesan sesuatu dalam nada suara Azmy itu. Dia serik untuk bertanya kerana jawapan yang diterima kadangkala tidak masuk akal. Dan pernah sekali, Shima bertanya, dan jawapan yang dia dapat adalah kata-kata yang menyakitkan hati.

“Mama tengok masa untuk anak-anak dan isteri pun semakin tidak teratur. Jangan buat sesuatu yang akan buat Azmy menyesal kelak, sudahlah. Mama nak ingatkan My. Kalau niat My betul nak bekerja, mama restu, tapi kalau tidak, My akan tanggung akibatnya,” Pn.Aznah menjeling tajam wajah Azmy yang jelas kelihatan gelisah.

“IsyaAllah,” Azmy pandang wajah Shima.

***********************

“Awak mengadu dengan mama saya balik lambat?” Shima tersentak mendengar kata-kata Azmy itu. Dia berpaling merenung tajam ke arah lelaki yang dulunya begitu mencintainya.

“Apa faedah yang saya dapat dengan mengadu pada mama?” Shima bertanya sinis. Sakit di hati tiada siapa yang tahu. Dia juga sudah mengetahui hubungan Azmy dan Mira semakin rapat. Azmy memandang tajam ke arah Shima yang sedang merenung kepekatan malam. Tanpa dia sedari, Shima menangis.

“Maaflah. Saya dah tak nak ambil tahu tentang apa yang awak buat kat belakang saya. Saya dah tak kisah.” Shima beredar ke bilik anak-anaknya. Semenjak hubungan mereka retak, Shima menghabiskan masanya melayan kerenah anak-anak yang semakin membesar.

“Shima...makanlah. Dari tadi termenung. Kau ada masalah?” Yusri bertanya perlahan. Bimbang melihat Shima yang asyik dengan dunianya sendiri.

“Aku tak apa-apa. Letih je. Anak-anak aku tu, mereka terlalu aktif. Mana lagi kerja kat pejabat. Huh!!!! Susah jugak jadi wanita bekerjaya ni,” Shima tersenyum.

“Anak-anak kau tentu dah besarkan? Aku belum lagi jumpa mereka.” Yusri mengeluh. Ketika itu mereka sedang menjamu selera di restaurent Selera Asam Payak.

“Kerja kau macamana? Dah lama jugak kita tak jumpa ye? Anak-anak aku dah nak pandai berjalan, tapi belum lagi merasa duit engkau,” Shima tersenyum manis. Yusri tergelak. Memang agak lama mereka tidak berjumpa. Tugas yang terlampau banyak di pejabat membuatkan Yusri jarang balik ke kampung.

“Yelah. Lepas ni kita pergi shopping sekejap. Aku nak belikan baju untuk anak-anak kau tu. Tak mengapa ke kau keluar dengan aku ni? Mana tahu suami kau marah,” Yusri bertanya bimbang.

“Tak. Dia faham. Betul nak belanja aku ni?” Shima bertanya lagi.

“Bukan belanja engkau. Aku nak sponser anak-anak kau,” Yusri tolak kepala Shima. Shima tersenyum. Dia rindukan kenangan lalu. Kenangan semasa mereka masih berkawan rapat.

“Dah lama orang tak tolak kepala aku ni,” Shima tergelak. Yusri geleng kepala.

“Kalau kau nak, suruh laki kau tu tolak kepala kau setiap hari. Mana tahu, kepala kau jadi senget sebelah,” Shima muncung mulutnya. Yusri ketawa besar.

“Shima...Shima... dah ada anak pun, perangai masih macam budak-budak,” Shima garu kepala. Selepas membayar bil, mereka berjalan seiringan menuju ke Shopping Mall sambil bercerita tentang diri masing-masing.

“Baju ni ok tak? Besar mana anak kau tu?” Yusri membelek sehelai demi sehelai baju kanak-kanak itu. Shima geleng kepala bila Yusri menayang beberapa helai baju.

“Tak sesuai. Budak-budak tu tak suka pakai baju macam tu,” Shima mencapai sehelai baju bewarna biru.

“Hai...cerewetnya mak orang ni. Budak-budak tu yang nak pakai atau mak mereka yang nak pakai baju tu?” Shima tersengih. Yusri geleng kepala.

“Mestilah cerewet. Anak-anak aku pun cerewet tau. Kalau kau beli baju yang mereka tak suka, nanti membazir pulak,” Shima angkat kening sambil tersenyum. Tanpa dia sedari, sepasang mata sedang memerhati gelagat mereka. Agak lama juga mereka memilih baju untuk anak-anak Shima.

***********************

“Wah!!!..Banyaknya baju. Siapa yang beli ni?” Pn.Aznah bertanya lembut sambil mengeluarkan satu-persatu baju dari bungkusan tersebut. Shima tersenyum.

“Yusri. Kami berdua keluar sekejap. Dah lama tak jumpa dia,” Pn.Aznah angguk kepala.

“Yusri tu baik budaknya. Mama minta maaf sebab anak mama tak jaga Shima dan anak-anak dengan baik. Lelaki lain lebih prihatin dengan kamu bertiga. Azmy pulak...” Pn.Aznah kesat airmata yang tiba-tiba mengalir dipipi.

“Mama...janganlah macam tu. Dia sakit. Bila dia pulih nanti, dia akan kembali pada kita,” Shima memeluk tubuh ibu mertuanya.

*********************************


“Awak pergi ke mana siang tadi? Saya call pejabat, mereka bagi tahu awak kerja setengahari je hari ni?” Shima tersentak bila ditegur kasar oleh Azmy. Dia yang baru saja keluar dari bilik air segera berpaling ke arah Azmy yang sedang bersandar di tepi almari.

“Awak telefon ke pejabat? Kenapa? Kenapa tak call henset saya?” Shima bertanya hairan.

“Awak keluar dengan lelaki lain kan? Siapa lelaki tu? Kekasih lama awak?” Azmy mencengkam lengan Shima. Shima berusaha melepaskan diri.

“Awak ni kenapa? Lepaskan saya. Sakitlah,” Shima meronta ingin dilepaskan. Azmy semakin bertindak kasar. Dia menolak tubuh Shima ke katil lalu menindih tubuh kecil itu. Shima berusaha melepaskan diri dari menjadi mangsa ciuman Azmy namun gagal.

“Saya benci awak,” Shima mencapai kain tuala lalu membalut tubuhnya dan berlari masuk ke bilik air semula. Di situ, dia menangis sepuas-puasnya. Dulu Azmy tidak pernah mengasarinya, malah Azmy menghormati hak nya sebagai isteri. Tapi kenapa malam itu dia bertindak kasar. Azmy benar-benar telah berubah. Semenjak malam itu Shima semakin menjauhkan diri dari Azmy. Perubahan mereka itu dapat dikesan oleh Pn.Aznah.

Suatu hari, Azmy menyerahkan sehelai kertas kepada Shima. Shima membacanya dengan teliti. Dunianya terasa gelap dan dia jatuh terduduk.

“Tanda tangan surat tu, nanti awak bagi pada saya,” Azmy terus berlalu.

“Shima kenapa?” Pn.Aznah bertanya lembut. Perlahan Shima menyerahkan surat tersebut kepada Pn.Aznah. Setelah membacanya, Pn.Aznah menjerit memanggil nama Azmy.

“Apa ertinya surat ni?” Pn.Aznah bercekak pinggang. Shima hanya mampu tunduk memandang lantai. Azmy mendiamkan diri.

“Biarlah mama. Saya tak kisah. Mungkin itu lebih baik,” Shima berdiri dan berjalan perlahan memasuki biliknya. Dia masih mendengar suara Pn.Aznah menjerit memarahi anaknya. Shima tutup telinga dengan bantal. Menangis sepuas-puasnya sehingga tertidur.

Sebulan telah berlalu, Shima mengemas barang-barang yang hendak dibawa pergi. Perlahan dia memandang sekeliling rumah besar itu. Begitu banyak kenangan yang tercipta di rumah besar itu.

“Dah kemas. Mereka dah nak jalan tu,” Shima angguk kepala. Setelah mengunci pagar, Shima menoleh sekali lagi memandang rumag banglo yang menyimpan segala kenangannya.

‘Selamat tinggal kenangan,’ Bisiknya dalam hati. Shima mengesat airmatanya. ‘Aku mesti tabah. Anak-anak perlukan aku,’ Shima melangkah yakin. Sebelum dia bersalin, dia telah di arah berpindah ke tempat baru. Oleh kerana dia baru saja melahirkan anak, maka ianya di tangguh. Dan setelah apa yang terjadi baru-baru ni, Shima ambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.

Mereka menyewa di sebuah rumah yang sederhana dan dekat dengan tempat kerja Shima yang baru. Ahli keluarganya tidak tahu apa yang menimpanya kerana dia tidak mahu mereka bimbang. Walaupun mungkin suatu masa nanti berita itu akan tersebar, namun Shima berdoa semoga keluarganya memahami keadaannya.

No comments:

Post a Comment