klik untuk ke blog di alam angker

Friday, April 16, 2010

ALiA
bahagian 45


oleh kaira_syuma
http://hasilpenulisanku.blogspot.com/
 


"cinta dan pesahabatan....andai cinta itu mungkin akan memisahkan kita....biarlah tali persahabatan aku hulurkan.....semoga segala kenangan itu hidup bersama"
“Papa......Isham ada kapal terbang. Pak Usu belikan untuk Isham,” Syah dan Awan tersentak bila mendengar suara anak sulong Awan yang berlari dari pintu terus melompat ke dalam pangkuan Awan. Di belakangnya pula, anak perempuan Awan yang berusia 3 tahun. Dia juga membawa anak patung beruang.

“Pak Usu belikan patung beruang untuk Ina,” Ucapnya perlahan sambil menghampiri papanya. Syah tersenyum melihat gelagat anak-anak sahabatnya. Tidak sabar rasanya mahu mempunyai anak sendiri bersama Alia. Ketika dia berpaling ke belakang, dia tersenyum manis melihat Alia yang juga sedang memandangnya.

“Bila lagi nak tambah rakyat ni?” Syah menggosok kepala anak sulong Awan. Awan tersenyum.

“Aku....kalau boleh setiap tahun nak tambah. Tapi....masalah juga, tu orang kesayangan aku tu, tak larat. Kasihan pulak dia,” Syah tergelak.

“Pak Usu kamu mana? Hai....kalau macam ni hari-hari, kering poket Pak Usu korang tu dibuatnya.” Awan membebel.

“Takpe. Siapa lagi nak habiskan harta saya tu, kalau bukan mereka ni,” Ajmal menjawab perlahan sambil mendukung Ina.

“Simpan jugak duit tu untuk masa depan. Takkan nak membujang sampai ke tua. Tengok macam Abang Syah kamu ni, takde angin takde ribut, tiba-tiba sebut nak kahwin,” Awan menasihati adiknya.

“Dah jodoh, betulkan bang Syah?” Ajmal duduk di sebelah Syah. Syah angguk kepala. Ajmal memang agak rapat dengannya. Kadangkala, dia lebih manja dengan Syah berbanding Awan. Jika tidak melihat pada wajah mereka, pasti orang akan mengatakan mereka berdua adalah adik beradik.

“Mana bakal isteri abang? Bang Awan, cantik tak orangnya?” Ajmal bertanya sambil matanya meliar mencari kelibat gadis misteri dalam hidup abang angkatnya itu.

“Kat dapur. Memang cantik,” Awan angkat tangan dengan menayang ibu jari. Syah tersenyum.

“Iye!!!! Ajmal nak ke dapur sekejap. Tak sabar nak tengok orangnya,” Ajmal berjalan perlahan ke dapur.

“Kak, ada apa-apa yang saya perlu tolong?” Ajmal menghampiri kakak iparnya.

“Tak payah. Duduk je kat luar tu. Ni kerja orang perempuan,” Ajmal tersengih.

“Kak, mana bakal isteri abang Syah tu? Cantik tak?” Malisa menunding jari ke tandas.

“Kenapa tanya? Kejap lagi dia keluar, kamu tengoklah sendiri,” Malas Malisa hendak melayan kerenah adik iparnya itu. Ajmal tersengih lagi.
Pada masa yang sama, Alia keluar dari bilik air. Dia berjalan menghampiri Malisa tanpa menoleh ke arah lain.

“Kak, ada tisu tak? Baju saya terkena air tadi,” Alia mengipas bajunya yang basah sedikit di hadapan akibat terkena air semasa mencuci pinggan mangkuk kotor sebentar tadi.

“Nah...” Alia tersentak bila memandang lelaki yang menghulur kotak tisu padanya.

“Awak?” Alia tersentak sambil jari telunjuknya dihalakan ke arah Ajmal yang tersenyum.

“Errrrr...apa awak buat kat sini?” Alia bertanya bodoh.

“Alia, ni adik ipar kakak. Ajmal,” Malisa memperkenalkan mereka berdua.

“Saya kenal dia kak. Tempat kerja dia sama dengan Ajmal. Owh!!!! Rupanya kekasih abang Syah,” Ajmal tersenyum. Lucu mengenangkan dia hampir mengorat kekasih abang angkatnya sendiri.

“Abang Syah....abang tak cakap pun yang kekasih abang ni kerja sama bangunan dengan saya.” Ajmal bersuara tenang semasa meraka menikmati makan malam.

“Terlupa nak bagi tahu. Sebab, Alia kadang-kadang je datang ke pejabat tu. Dia dah pindah kat tempat baru,” Alia hanya tersenyum. Rasa kekok hendak menyampuk perbualan rakan-rakan Syah. Dia juga tidak menyangka, orang yang selalu dia jumpa ada kaitan dengan Syah. Kenapa Syah orang terakhir yang dia jumpa?.

“Nasib baik Alia dah cakap awal-awal yang dia dah bertunang. Kalau tak, kecewa saya dibuatnya,” Syah terbatuk mendengar kata-kata dari mulut Ajmal. Awan tergelak. Alia menuang air suam ke dalam gelas lalu diberikan kepada Syah.

“Ajmal.” Malisa menegur adik iparnya. Ajmal tersengih.

“Itulah. Adik sombong sangat. Kita berdua yang Alia jumpa dahulu. Kalau tak, mungkin jugak Alia dah jadi kekasih adik sekarang ni. Betulkan Alia?” Alia telan air liur. Syah menjeling tajam wajah Awan yang tersenyum. Walaupun dia tahu Awan bergurau, namun timbul rasa bimbang, takut Alia berubah hati. Pada masa yang sama, Alia tersenyum manis padanya. Meyakinkan Syah bahawa hatinya memang milik Syah seorang.

“Tak semudah itu, bang. Memang takde jodoh kami. Nampak sangat yang dia cintakan Abang Syah,” Alia tertunduk malu.

“Yelah. Maklumlah, suami pertama dia. Semestinya cinta pertama dia juga,” Alia tersentak mendengar Awan berkata begitu. Alia pandang wajah Syah. Mereka menggunakan bahasa mata. Syah angguk kepala. Dia tahu apa yang Alia fikirkan.

“Iye.” Ajmal pandang wajah Syah dan Alia silih berganti. Awan menceritakan serba sedikit kisah silam Alia dan Syah.

“Semoga perkahwinan kalian berdua kali ini berbahagia untuk selamanya,” Ucap Ajmal ikhlas.

“Terima kasih.” Syah tersenyum senang. Mereka menikmati makan malam sambil bergurau senda dan bercerita tentang pengalaman masing-masing. Pukul 10.30 malam, Alia dan Syah meminta diri untuk pulang.

*******************************

“Alia... Selamat pengantin baru,” Rakan-rakan Alia menyerbu bilik tempat Alia berhias. Hari ni adalah hari bahagia Syah dan Alia. Segalanya berjalan lancar.

“Tak sangka betul. Kau kahwin dengan cikgu Syah juga akhirnya,” Ros memeluk bahu Alia. Mereka yang lain tergelak.

“Dulu bergaduh. Sekarang dah jadi suami isteri. Alia.....kau masih bergaduh jugak dengan Dr.Syah tu?” Sara pula bertanya. Alia angguk kepala.

“Dia masih macam dulu jugak. Suka sangat menyakitkan hati aku.” Alia muncung mulutnya. Rakan-rakannya tersenyum.

“Tapi kalau korang nak tahu? Dia bergaduh dengan aku dulu, sebab dia nak tarik perhatian aku. Luculah orang tua tu,” Alia tergelak.

“Apa kau panggil dia? Orang tua? Haiiii...orang tua pun, suami kau jugak,” Maziah tolak bahu Alia. Alia tersengih.

“Alia, adik beradik tiri cikgu Syah tu, mereka dah sampai ke?” Ros membelek peralatan untuk Alia berhias.

“Dah. Dua hari lepas mereka datang. Sara, tolong tengok mata aku kejap. Macam ada sesuatu masuk kat dalam mata aku ni,” Sara menghampiri Alia.

“Bulu mata.” Sara membantu Alia membuang bulu mata yang masuk ke dalam mata Alia.

“Yang mana satu ayah cikgu Syah tu?” Ros bertanya lagi. Perasaan ingin tahu tantang keluarga Syah membuatkan Ros tidak henti bertanya.

“Lelaki yang pakai baju putih tu. Rambut dia juga putih. Itulah ayah dia.” Mereka mengintai dari jendela bilik Alia. Majlis perkahwinan Alia dan Syah berlangsung di kampung Alia terlebih dahulu. Sebulan kemudian, barulah mereka membuat majlis di rumah Syah. Pelbagai acara menyambut pengantin dijalankan. Orang yang paling sibuk melayan tetamu dan juga mengurus majlis tersebut adalah Ajay dan Ariy.

“Apa perasaan kau dapat kahwin dengan Dr.Syah?” Sara bertanya lembut. Alia tarik nafas perlahan. Maziah, Imah dan Ros menanti dengan sabar.

“Gembira tentunya. Tapi... aku rasa takut, cemas, keliru tapi lebih banyak lagi gembira. Abah aku cakap, bila kita bersedia untuk melayari alam rumahtangga, kita harus bersedia apa saja kemungkinan selepas berkahwin. Aku hanya berdoa pada Allah semoga jodoh kami berkekalan hingga akhir hayat,” Alia tunduk memandang kakinya yang merah dipasang inai.

“Apa yang pasti, aku gembira sebab perkahwinan kedua kami dibuat secara meriah dan korang hadir semua. Aku terharu sangat,” Alia menitiskan airmatanya. Mereka berlima saling berpelukan.

“Dah jangan nak buat drama sedih pulak,. Tapikan... Alia... aku rasalah, Dr.Syah tu romantic. Betulkan? Dan aku rasa dia tentu tak sabar menanti malam,” Imah tersengih nakal. Wajah Alia bertukar merah. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Imah. Maziah juga tersenyum nakal.

“Dr.Syah dah lama sukakan kau tu. Ada yang tak bangun pagi dibuatnya,” Maziah dan Imah tergelak. Sara dan Ros tersenyum. Alia membeliakkan matanya ke arah Imah.

“Apa yang suka sangat ni?” Mereka tersentak bila di tegur oleh Pn.Hamidah yang tiba-tiba menjenguk di muka pintu bilik.

“Errr...takde apa-apa cikgu” Imah menjawab mewakili mereka yang lain.

“Dah sedia? ” soalnya pada Alia dan rakan-rakan. Sara yang memakai baju kebaya warna putih sebagai pengapit Alia berdiri tegak. Membantu Alia mengemaskan lagi solekan sahabatnya.

“Ok. Tarik nafas. Hembus perlahan-lahan” Maziah mengurut belakang Alia. Alia kelihatan gelisah. Bunyi kompang dan suara pemainnya menyanyikan lagu selamat pengantin baru bergema di dalam rumah menandakan pengantin lelaki sudah datang. Sara memimpin tangan Alia menuju ke pelamin. Sementara itu, di bawah, acara silat menyambut ketibaan pengantin lelaki sedang berlangsung.

Sebaik sahaja melihat wajah Syah yang berseri itu, timbul satu perasaan halus yang membuatkan hati Alia tenang. Senyuman yang diberikan oleh Syah menguatkan semangatnya. Alia mencium tangan Syah seperti yang disuruh oleh mak Andam. Kemudian Syah pula mencium dahi Alia sebelum duduk. Bunyi nyanyian dari pemain hadrah sedikit pun tidak mengganggu ketenangan wajah Alia dan Syah. Ajmal tersenyum manis ke arah Sara. Mereka nampak sepadan memakai baju warna putih itu.

******************************

“Alia....Siapa nama kawan Alia tu? Yang jadi pengapit Alia tu?” Ajmal bertanya pada Alia. Alia tersenyum.

“Kenapa? Berkenan? Maisara namanya. Masih single. Cubalah nasib,” Alia tersenyum. Ajmal angguk kepala. Semanjak sampai tadi matanya menangkap wajah manis itu.

“Boleh? Dia ok tak? Maksud saya, dia tak memilih kawan?” Ajmal bertanya lagi. Alia mencuit bahu Syah.

“Abang... Ada orang berkenan dengan Sara,” Alia berbisik ke telinga Syah. Ketika itu mereka sedang menjamu selera. Genggaman tangan mereka sekalipun tidak dilepaskan.

“Siapa?” Syah bertanya lembut. Alia muncung mulut ke arah Ajmal yang gelisah semacam. Syah tersenyum.

“Owh!!! Baguslah. Memang sesuai sangat,” Syah masih memadang wajah Ajmal.

“Panggil Ajmal kejap,” Alia angguk kepala. Ajmal berdiri di antara Alia dan Syah.

“Ok tak, kalau saya jumpa dia kemudian terus bagi tahu dia....? Errrrr...Sebelum tu, betul dia masih single?” Ajmal bertanya lagi. Alia angguk kepala.

“Pergilah. Dia memang sesuai jadi isteri Mal,” Syah berkata yakin. Ajmal menghembus nafas perlahan. Dengan langkah macho, dia menghampiri Sara yang sedang leka menikmati kek coklat.

“Assalammualaikum. Saya Ajmal. Saya sukakan awak,” Sara yang sedang menyuap kek ke dalam mulutnya tergamam. Mulutnya masih menggigit kek.

“Awak...awak tak apa-apa?” Ajmal bimbang melihat Sara yang kaku. Perlahan Ajmal menarik tangan Sara yang masih memegang kek itu. Sara tersedar dari mimpi. Sara geleng kepala kemudian pejamkan mata. Wajah Ajmal yang memerah itu masih juga menjamu matanya.

“Apa awak cakap?” Sara bertanya lagi.

“Saya sukakan awak sejak pertama kali kita berjumpa. Dan saya tak mahu kehilangan orang yang saya suka. Kalau boleh saya nak melamar awak jadi isteri saya,” Alia dan Syah yang datang menghampiri mereka terkejut. Imah, Maziah, Ariy, Ajay, Ros, Hafiz dan Fizan juga tergamam. Mereka tidak menyangka Ajmal akan meluahkan perasaannya sekaligus melamar Sara. Sara terus membisu. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberi. Matanya masih memandang wajah Ajmal. Mulut juga masih terbuka. Maziah menolak bahu Sara sehingga menyebabkan Sara terbatuk. Perlahan Sara mengurut dadanya dan menarik nafas perlahan. Perlahan Sara angguk kepala. Sekali lagi mereka yang lain terkejut. Ajmal tersenyum lega. Begitu juga Sara. Terasa lapang dadanya melihat senyuman Ajmal.

“Betul ke apa yang aku tengok ni?” Ajay cubit pipinya.

“Tahniah!!!” Ucap rakan-rakannya. Selepas bersalaman dengan mereka semua. Ajmal menarik tangan Sara menghampiri kedua orang tuanya.

“Mama, papa... errrrrr..ini Sara. Maisara. Mal nak kahwin dengan dia,” Ucapnya yakin. Dari jauh Syah dan Alia tersenyum bahagia melihat taman mereka bertemu jodoh dimajlis perkahwinan mereka.

“Betul ke? Alhamdulillah. Mari,” Mama Ajmal menarik tubuh Sara lalu dipeluknya erat. Sara terkejut. Tidak menyangka sampai begitu sekali penerimaan orang tua Ajmal. ‘Ya Allah. Betul ke keputusan ku ini,’ Bisiknya dalam hati. Ucapan tahniah dari abang dan kakak ipar Ajmal membuatkan Sara semakin yakin dengan keputusannya. Walaupun mungkin perkara seperti ini tidak pernah terjadi pada sesiapa, namun Sara tetap rasa tenang. Mereka memperkenalkan keluarga masing-masing. Orang tua Sara juga setuju majlis perkahwinan dibuat dalam masa terdekat. Tidak mahu membuang masa. Bagi mereka, kalau sudah suka sama suka, lebih baik berkahwin.

Jam hampir menunjukkan pukul 12.30 malam. Alia menyikat rambutnya di meja solek sambil menanti Syah masuk ke bilik mereka. Bunyi pintu bilik di tolak perlahan membuatkan Alia berpaling. Wajah Syah yang tersenyum manis menyapa matanya.

“Assalammualaikum.” Syah menghampiri Alia yang sedang menyikat rambutnya.

“Waalaikumsalam. Penat?” Alia bertanya lembut. Syah angguk kepala.

“Tak sangka, akhirnya kita berkahwin juga.” Syah berdiri dibelakang Alia sambil mengusap perlahan rambut Alia. Syah merenung wajah Alia yang tiba-tiba menjadi merah bila tangannya menyentuh bahu isterinya itu.

“Tolong picit badan abang, boleh kan?” Alia menjeling tajam. ‘Dia dah mula dah. Suka sangat nak buli aku,’ Ucapnya dalam hati. Namun Alia tetap tersenyum kemudian angguk kepala. Ketika Alia menolak kerusi untuk berdiri, dia terpijak kaki Syah. Syah menjerit.

“Aduh!!!!! Sakitnya,” Syah tunduk memegang kakinya. Alia juga tunduk.

“Sorry. Alia tak sengaja.” Alia membantu Syah berjalan ke katil.

“Abang tunggu sekejap ye. Alia cari minyak angin,” Alia kelam kabut mencari minyak angin dalam laci mejanya. Beberapa minit kemudian, Alia menepuk dahinya.

“Alia guna minyak ni. Abang dah bawak tadi,” Tanpa menunggu lama, Alia terus mengambil minyak angin tersebut.

*******************************

No comments:

Post a Comment