klik untuk ke blog di alam angker

Saturday, April 24, 2010

TAKDIR 

episode 23




“Ini papa,” Shima memeluk anak-anaknya sambil menatap album keluarga. Satu persatu gambar Azmy ditayangkan pada anak-anaknya. Walaupun Azmy mengecewakannya, dia tetap ayah kepada anak-anaknya. Dia bukanlah perempuan yang suka berdendam hingga menyebabkan anak-anaknya kehilangan kasih sayang lelaki yang bergelar ayah. Lagipun, Azmy juga berhak ke atas anak-anak itu. Jadi dia mengambil keputusan untuk membawa anak-anaknya berjumpa papa mereka suatu masa nanti.
“Kenapa Shima biarkan mereka kenal ayah mereka?” Pn.Aznah bertanya lembut. Shima tersenyum.
“Mama, mereka berhak untuk mengenali papa mereka. Lagipun, abang Azmy masih hidup dan saya tak mahu mereka hidup tanpa kasih sayang seorang ayah,” Shima mengusap rambut anak-anaknya.
“Tapi....Azmy.. dia tidak seperti dulu lagi,” Pn.Shima mengesat airmatanya. Shima menghampiri Pn.Aznah lalu dipeluknya erat.
“Mama, abang Azmy hanya pergi sementara. Dia tentu akan kembali. Saya tinggalkan dia kerana saya mahu ingatannya pulih. Biar dia bersama Kak Mira, sebab mereka sudah lama berkenalan. Dan mungkin dengan cara itu, ingatan Abg Azmy akan pulih,” Shima memujuk ibu mertuanya.
“Tapi...bagaimana jika ingatannya tidak pulih? Dan dia semakin melupakan Shima?” Shima mengeluh.
“Biarlah. Mungkin dah takdir kami begitu,” Shima tersenyum. Dalam hati dia tetap berdoa semoga Azmy sihat walau dimana saja dia berada.
“Tengok berita tu, kerana isteri curang, seorang suami memukul teman lelaki isterinya sehingga parah dan dimasukan ke hospital. Teruk betul manusia zaman sekarang ni,” Shima geleng kepala mendengar berita ringkas tersebut.
“Terlalu sangat mengejar nikmat dunia. Itulah jadinya. Sampai lupa tuntutan agama,” Shima bersuara perlahan.
************************************
“Papa...papa...” Suara Amir terdengar halus. Shima tersentak merenung wajah anaknya yang sedang menarik tangannya sambil sebelah lagi tangan kecil itu menunding jari ke arah seseorang.
“Bukanlah sayang. Bukan papa tu, mari,” Shima tersenyum sambil menggeleng kepala. Jantungnya seakan berhenti berdegup bila mendengar Amir memanggil papa. Sangkanya, Azmy yang anak kecil itu nampak. Tapi mustahil, kerana lelaki yang dilihatnya tadi berambut pendek dan hampir botak. Mereka berdua sedang membeli-belah di Mall sementara Amar tinggal di rumah menemani neneknya. Petang nanti ahli keluarganya dari kampung hendak datang ke rumah oleh sebab itu Shima membeli barangan dapur.
“Assalammualaikum,” Shima tersentak. Kunci kereta ditangannya terjatuh sabaik sahaja mendengar suara itu.
“Shima...” Shima tidak sanggup berpaling. Suara lelaki yang dirinduinya menyapa gegendang telinganya.
“Shima...abang minta maaf. Abang dah sembuh dan dah ingat semuanya. Abang menyesal dengan segala tindakan abang terhadap Shima dan anak-anak,” Azmy menggenggam tangan Shima yang terasa sejuk itu. Airmata mengalir dipipinya. Shima terus kaku. Azmy tunduk mencium pipi anaknya. Amir tersenyum lalu memeluk erat papanya.
“Mama, ni papa...papa..” Suara Amir yang ceria itu menyedarkan Shima dari lamunannya.
“Saya nak balik,” Shima terus mencapai kunci kereta dan menyimpan segala barang yang dibelinya ke dalam bonet kereta. Kemudian dia manarik tangan Amir dan di bawa masuk ke dalam kereta. Azmy hanya mampu melihat Shima berlalu meninggalkannya tanpa sebarang ucapan. Azmy mengekori kereta Shima sehingga ke halaman rumah sewa mereka.
“Shima, tunggu...” Azmy menarik tangan Shima. Shima berusaha menepis tangan kasar itu namun tidak berjaya. Walau hatinya melonjak gembira dengan berita yang dikhabarkan, namun kenapa dalam masa yang sama hatinya sakit bila mengingatkan segala perlakuan Azmy padanya.
“Abang minta maaf,” Shima terus kaku. Pn.Aznah yang mendengar deruman kereta sebentar tadi menjenguk keluar pintu. Dia turut sama terpaku melihat sesusuk tubuh yang sangat dirinduinya. Wajah Azmy yang semakin cekung itu membuatkan Pn.Aznah semakin sedih dan tanpa dia sedari airmata mengalir laju dipipinya. Amir dan Amar memandang hairan ke arah orang tuanya. Amar berlari ke arah Azmy lalu memeluk erat papanya. Azmy melepaskan genggaman tangannya lalu memeluk Amar yang tersenyum manis padanya. Hampir setahun mereka berpisah. Amir dan Amar sudah pandai berjalan dan mula pandai bercakap. Azmy mencium anak-anaknya bagi melepaskan rindu yang semakin sarat dihatinya semenjak ingatannya pulih. Sebaik sahaja keluar dari hospital setelah sebulan lebih menjalani rawatan, Azmy dibenarkan pulang. Dia bersyukur kehadrat Ilahi kerana memberi peluang untuknya menebus segala kesalahan yang dilakukannya pada Shima.
“Shima...macamana Azmy boleh tahu kita kat sini?” Pn.Aznah bertanya hairan.
“Kami terserempak di Mall tadi,” Shima terus berlalu menuju ke bilik. Meninggalkan Azmy dan anak-anaknya yang saling melepas rindu.
“Mama....Maafkan My. My banyak buat salah pada mama dan Shima,” Azmy melutut dikaki Pn.Aznah. Pn.Aznah semakin sedih. Betapa selama ini dia rindukan anak tunggalnya itu. Kerana tidak mahu menyakiti hati Shima, dia pendamkan hasrat untuk bertemu Azmy semula. Kini, apabila Azmy berada dihadapan matanya, dia tidak dapat membendung rasa rindunya lagi. Mereka berpelukan sambil menangis.
********************************************
“Banyaknya lauk. Shima yang masak?” Kak Mai mencium bau masakan adiknya. Shima tersenyum.
“Laaaaa..Siapa lagi yang nak masak?” Shima menjawab tenang.
“Manalah tahu, kau dera mak mertua kau tu? Ehhhh..anak-anak kau mana? Dari tadi tak nampak mereka?” Shima terus tunduk. Setelah dia tidak menghiraukan Azmy tengahari tadi, akhirnya Azmy minta kebenaran untuk membawa Amir dan Amar keluar jalan-jalan.
“Errrrrrr..Abang Azmy bawa mereka keluar,” Akhirnya Shima bersuara. Kakaknya tersentak.
“Azmy? Kamu berdua dah berbaik semula? Dia dah jumpa kamu ye?” Kak Mai menarik bahu Shima. Shima angguk kepala.
“Dia pernah ke kampung. Pujuk mak dan ayah supaya memaafkan dia. Mak dan ayah tu, bukan kau tak tahu, mudah memaafkan orang. Tentu mereka yang bagi alamat rumah ni kat Azmy tu,” Kak Mai bersuara marah. Setelah mengetahui apa yang terjadi pada Shima, mereka sekeluarga berusaha mencari Shima, mereka mengetahui berita tersebut selepas berita tentang Azmy yang dipukul sehingga cedera parah itu tersiar di dalam berita Utama. Barulah mereka tahu bahawa Azmy dan Shima tidak tinggal sebumbung.
“Kau dah maafkan dia juga?” Kak Mai cuba mencungkil perasaan adiknya. Shima geleng kepala. Dia keliru.
“Shima, kakak tahu, susah untuk Shima lupakan dia. Akak nak ingatkan, apa jua keputusan Shima, pastikan Shima takkan menyesal kelak. Semuanya keputusan ditangan kau.” Shima memeluk erat kakaknya sambil menangis perlahan.
“Sudahlah. Akak tahu, kau memang menunggu saat dia kembali kepada kau dan anak-anak.” Shima mengesat airmatanya.
“Saya tak tahu. Memang selama ini saya mengharapkan dia kembali, tapi....bila ianya terjadi, saya tak tahu nak buat apa. Malah nak pandang wajahnya membuatkan hati saya sakit sangat.” Shima mengeluh. Kak Mai tersenyum.
“Hanya kau sendiri tahu apa yang kau inginkan. Walau orang sekeliling mengatakan kau bodoh sekalipun, biarlah. Mereka tidak memahami apa yang kau rasa. Hanya mereka yang mengalaminya tahu apa perasaan kau. Akak tetap menyokong segala keputusan kau,” Shima angguk kepala.
“Ye. Saya harus fikirkan demi anak-anak. Lagipun, mereka sudah berjumpa semula. Dan sememangnya niat saya ingin mereka bertemu semula,” Perbualan mereka terhenti bila mendengar suara riuh anak-anaknya bergelak ketawa.
“Abang apa khabar?” Azmy menyalami tangan Hafiz. Azmy tersenyum malu dengan penerimaan ahli keluarga Shima.
“Bagus.” Ucapnya ringkas. Perasaan bersalah masih menguasainya.
“Sudahlah Azmy. Kita lupakan perkara dulu tu. Lagipun, bukan salah Azmy. Azmy sakit masa tu.” Pak Zaki menepuk bahu menantunya.
Azmy merenung skrin televisyen. Mulutnya sudah beberapa kali menguap. Mata juga sudah mengantuk. Pada mulanya dia ingin balik, namun dihalang oleh Pak Zaki. Akhirnya Azmy membatalkan niatnya untuk pulang dan bermalam dirumah sewa Shima. Ahli keluarga Shima yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal hanya ibu dan ayah Shima. Azmy tidak tahu hendak tidur dimana. Shima langsung tidak menegurnya malah memandang wajahnya juga Shima tidak sudi. Akhirnya kerana terlalu mengantuk, Azmy tertidur di hadapan ruang tamu.
Shima menelentang pula. Matanya tidak mahu tidur. Rasa mengantuk hilang bila memikirkan dimana Azmy tidur. Sekejap dia duduk memandang ke pintu bilik. Shima gelisah. ‘Kenapa dengan aku ni? Biarlah dia nak tidur dimana. Bukan masalah aku pun,’ Shima berbisik sendirian kemudian berbaring semula. Beberapa minit kemudian Shima duduk kembali. Perlahan dia turun dari katil dan berjalan perlahan ke pintu. Dia menjenguk mencari kelibat suaminya. Sayu matanya saat terpandang Azmy sedang meringkuk kesejukan dihadapan ruang tamu. Shima masuk semula ke bilik. Mencari bantal dan kain selimut.
Perlahan dia mengangkat kepala Azmy untuk meletakan bantal kemudian Shima menyelimut tubuh yang meringkuk itu. Merenung wajah Azmy yang sedang nyenyak tidur semakin membuatkan Shima bertambah cintakan lelaki itu. Air mata terlalu mudah menitis sehingga akhirnya Shima menangis teresak-esak. Esakan kecil itu telah menyedarkan Azmy. Azmy terus duduk tegak sambil merenung sayu wajah Shima yang sedang menangis itu.
“Shima, maafkan abang. Terima abang semula. Abang janji tidak akan melukakan Shima lagi,” Sekali lagi ungkapan maaf itu keluar dari mulut Azmy. Shima terus mendiamkan diri. Melihat Shima terus mendiamkan diri, Azmy akhirnya mengeluh.
“Kalau Shima dah tak cintakan abang lagi, abang terima. Tapi, fikirkan tentang anak-anak kita. Abang ingin menemani mereka semasa mereka sedang membesar.” Azmy menggenggam erat tangan Shima. Shima terus tunduk memandang lantai kemudian dia angguk kepala.
“Betul? Shima terima abang semula? Terima kasih,” Azmy bersuara gembira dan spontan memeluk Shima. Shima menolak tubuh Azmy yang terasa hangat memeluknya. Azmy tersentak. Berubah wajahnya.
“Abang patut berterima kasih pada Amir dan Amar. Saya takkan terima awak jika bukan kerana mereka.” Shima berdiri tegak dan berlalu meninggalkan Azmy yang sedang kecewa mendengar kata-kata dari mulut Shima.
“Abang faham.” Azmy menjawab perlahan.
*******************************

No comments:

Post a Comment