klik untuk ke blog di alam angker

Monday, March 1, 2010

TAKDIR 

episode 7




Keesokan harinya Shima di hantar ke rumah orang tua Azmy. Sepanjang perjalanan mereka, Shima hanya mendiamkan diri.

“Saya nak ingatkan awak, mama saya tu emosi sikit. Dia tak dapat terima kenyataan yang dia lumpuh. Saya harap awak bersabar dengannya. Segala perbelanjaan perubatan dia akan saya tanggung. Saya minta maaf sebab lakukan ini pada awak,” Azmy berkata perlahan. Shima masih mendiamkan diri disebelahnya.
“Awak dengar tak?” Azmy bertanya keras. Shima menoleh marah ke arah Azmy.

“Saya belum pekak lagi.” Shima menjawab kasar. Dia terus melelapkan matanya. Azmy geleng kepala. Dulu wajah itu penuh dengan senyuman dan kata-kata yang lembut. Tapi kini segalanya berubah. Dia menjadi seorang gadis yang kasar, kedekut dengan senyuman, pakaiannya juga sudah tidak seperti dahulu. Kalau dulu dia sering menggunakan baju kurung dan nampak jelas keayuan diwajahnya. Tapi kini Shima lebih suka menggunakan baju t-shirt dan berseluar jean ketat. Dia nampak semakin muda dari usianya.

“Mama, kenalkan ini isteri saya, Shima,” Azmy memperkenalkan Shima kepada mamanya. Puan Aznah merenung tajam wajah menantu barunya itu.
“Apa dah jadi dengan Mira? Dia dah tak tahan nak jaga mak mertua dia yang sakit ni?” Soal Puan Aznah sinis. Dia memandang wajah Shima dari atas hingga ke bawah.
“Budak kampung yang kamu pilih? Berapa tahun umur dia ni?” Shima memandang wajah yang masih cantik itu.

“19 tahun mak cik. Owh…. Nilah orang tua yang tak mampu di jaga oleh anaknya,” Jawab Shima selamba.

“Dia bohong mama, sekarang ni dia dah 25 tahun,” Azmy menjawab keras. Shima tersenyum sinis.

“Please Shima, jangan buat macam tu. Panggil mama mulai sekarang,” Azmy berkata tegas.

“Saya gurau saja. Itupun pun nak marah. Suka hati sayalah nak panggil dia apa,” Shima duduk menyandar. Memasang earphone dan melayan lagu dari telefon bimbitnya. Azmy geleng kepala tidak menyangka Shima akan berubah sejauh itu. Azmy menerangkan serba sedikit tugas kepada Shima dan Shima hanya angguk kepala seperti burung belatuk. “Sudah?” Soalnya sambil keningnya terangkat. Shima tersenyum sinis dan berlalu ke bilik yang telah disediakan oleh Azmy. Azmy hanya geleng kepala.

Azmy mengetuk pintu bilik Shima namun tiada sahutan dari dalam.

“Budak ni. Tentu dia leka dengar muzik.” Azmy menolak pintu bilik yang tidak berkunci itu. Ketika dia masuk, Shima sedang bersembahyang Zohor. Azmy terpana seketika melihat betapa bersih dan berseri wajah itu ketika bersembahyang. Azmy segera berlalu keluar dari bilik itu. ‘Kenapa aku sanggup menganiaya gadis yang baik seperti dia?’ Bisiknya lemah.

“Mama, saya balik dulu. Nanti kalau ada apa-apa telefon saya ye,” Pesan Azmy lemah. Dia beredar meninggalkan rumah mamanya tanpa memberitahu Shima.

“Ehhhh. Mak cik, anak mak cik mana? Dah balik?” Shima bertanya selamba sebaik sahaja kakinya mencecah lantai. Pn. Aznah merenung tajam wajah menantunya itu. “Kenapa kau kahwin dengan dia?” Soalnya tiba-tiba. Shima tersentak. ‘Alamak!!!! Apa aku nak jawab? Errrr,’ Shima garu keningnya sambil berfikir keras.

“Tak tahu,” Jawabnya ringkas. Itu saja jawapan yang dapat dia bagi walaupun keinginan untuk membocor rahsia perkahwinannya sangat berkobar-kobar. Jika tidak kerana perjanjian yang dibuat, tentu rahsia itu tidak menjadi rahsia lagi.

“Tak tahu? Atau dah terdesak sangat nak berkahwin takut jadi dara tua, terima saja suami orang? Memang perempuan kampung yang tak tahu malu,” Kutuknya hingga membuatkan Shima merasa marah.

“Mak cik…” Shima berhenti seketika. ‘Buat apa aku nak layan dia? Dia sakit, suka hati dia nak kutuk aku. Yang penting orang bayar duit kat aku dan anggap saja yang dia ni pesakit mental. Tak dapat jadi nurse, jaga orang tua lumpuh pun ok jugak,’ Shima tersenyum akhirnya.

“Anak mak cik yang gatal sangat nak kahwin dengan saya. Agaknya dia dah tak larat nak jaga mak cik sebab tu dia ajak saya berkahwin, tetapi sebagai orang gaji dia. Baik tak anak mak cik tu.” Shima berkata sinis. Pn.Aznah terdiam membisu. ‘Benarkah itu yang terjadi?’ Bisiknya sangsi.

“Betul?” Soalnya ingin kepastian.

“Hahahaa. Mak cik ni, tak kan lah dia nak buat macam tu. Saya gurau aje. Dan mulai sekarang, kalau mak cik ada apa-apa hal bagi tau saya.” Shima membaca majalah yang berlambak di almari sebelah rak tv.
“Berapa lama kaki mak cik tu lumpuh?” Soal Shima ramah dan perlahan. Sememangnya Shima seorang yang lemah lembut cuma di hadapan Azmy dia menjadi kasar dan degil. “Kenapa kau nak tahu?” Pn.Aznah bertanya kasar. Pn.Aznah meneliti wajah lembut itu. “Supaya saya tahu macamana nak sembuhkan kaki mak cik tu.” Jawab Shima keras. Sakit hati bila di tanya dengan kasar oleh mertuanya.

“Kau pandai ke nak ubat kaki orang lumpuh ni? Sedang doctor pun tak dapat nak beri jaminan kaki aku ni sembuh ke tidak.” Katanya sinis.

“Semua penyakit ada ubatnya. Yang penting usaha. Kalau mak cik nak sembuh, nak berjalan macam orang lain, mak cik kena kuat dan tanam dalam diri mak cik tu, yang mak cik mahu berjalan semula seperti orang lain.” Shima memandang wajah lesu itu. Jelas kelihatan di wajah tua itu, dia sedang bersedih.

********************

Tiga bulan menjadi isteri Azmy, Shima mula merasa tenang. Lagipun Azmy jarang menjenguknya di rumah tersebut dan itu menyebabkan Shima berasa tenang dan aman. Sehingga dia terlupa yang dirinya adalah isteri orang. Pn.Aznah semakin senang di jaga dan jelas kelihatan sedikit perubahan pada wajah itu dan nampak bersemangat sedikit dari tiga bulan lalu. Setiap 2 minggu sekali, Shima membawa Pn.Aznah ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan juga nasihat dari doctor. Doctor juga menyatakan ada sedikit perubahan pada kaki Pn.Aznah. Mendengar tentang itu, Shima adalah orang yang paling gembira dan semangat untuk membantu ibu mertuanya itu semakin berkobar-kobar.

“Awak,” Shima memanggil Azmy yang sedang leka membaca surat khabar di taman rumah orang tuanya.
“Kereta merah tu, siapa yang punya?” Soal Shima perlahan. Azmy tersentak mendengar Shima menegurnya. Dengan suara lembut pulak tu, dia terasa sedang bermimpi. “Hoii..Saya sedang bercakap dengan awak ni. Awak dengar tak?” Shima melambai tangan di hadapan muka Azmy.

“Er.. Ye.. Apa awak cakap tadi?” Soalnya gugup.
“Saya tanya, kereta Farrari merah tu, siapa punya?” Shima mngulangi soalannya.
“Saya. Kenapa?” Azmy pula bertanya pelik.
“Betul? Masih elok?” Shima bertanya minat. Azmy kerutkan dahinya. Pelik melihat Shima yang tersenyum nakal.

“Ok. Saya nak motor tu. Kalau awak tak nak, saya tak nak jaga mama awak tu,” Shima membuat keputusan muktamad. Azmy tersentak. Tak mungkin dia akan menyerahkan kereta kesayangannya itu. Kereta yang dihadiahkan oleh arwah ayahnya ketika dia tamat belajar 7 tahun lalu. Mira pun tidak pernah memandu kereta tersebut, menumpang pun hanya beberapa kali. Dan semenjak mereka ada Amri, kereta tersebut masih tersadai di rumah mamanya. Tiada siapa pun berani bertanya tentang kereta tersebut. Kini, Shima meminta sesuatu yang amat disayanginya.

“Awak fikirlah dulu. Saya nak kereta tu atas nama saya. Kalau awak tak setuju, saya nak batalkan perkahwinan kita,” Dengan selamba Shima berkata. Azmy berdiri cekak pinggang sambil merenung wajah selamba Shima.
“Kenapa dengan awak ni? Dah kemaruk sangat nak jadi janda? Atau si Yusri tu dah bagi ubat guna-guna kat awak?” Azmy melenting. Shima terkejut bila Azmy memarahinya namun beberapa saat kemudian dia bersuara.
“Terpulang pada awak, nak kata apa. Yang penting saya nak kereta tu atas nama saya. Muktamad.” Shima beredar sambil menyanyi riang. Azmy berdengus geram.

No comments:

Post a Comment