klik untuk ke blog di alam angker

Monday, October 19, 2009

CINTA tak KENAL siapa

oleh kaira syuma 

episode 3



Sekembalinya ke tanahair, Azlan semakin sibuk dengan tugasan yang semakin mencabar sehingga dia tiada masa untuk menjenguk keluarga Tuan Hj.Rashid.

Setelah beberapa kali menolak jemputan dari Tuan Hj.Rashid, akhirnya Azlan tidak dapat menolak lagi dan sebetulnya dia juga sudah tidak terlalu sibuk. 4 bulan dia tidak bertemu dengan ahli keluarga itu dan itu maknanya, Erma juga sudah sedar selama 4 bulan.

Kehadiran Azlan di sambut mesra oleh keluarga Tuan Hj Rashid. Mereka membuat jamuan makan malam sempena ucapan terima kasih kerana Azlan sudi menjaga Erma ketika anak gadis mereka terlantar sakit selama lebih 8 bulan. Sepanjang berada di rumah tersebut, Azlan tercari-cari gadis yang telah lama tidak di tatap wajahnya. Sebelum menjamu selera, kerusi di sebelah Azlan kosong dan ahli keluarga tersebut tersenyum penuh rahsia padanya.

Sewaktu hendak makan, seseorang memberi salam. Azlan turut menyambut salam tersebut tetapi tidak memandang wajah orang yang sedang memberi salam itu.
Seseorang sedang duduk di kerusi kosong di sebelahnya dan pada masa yang sama Azlan mendongak dan gadis itu turut memandangnya. Mereka berbalas pandang agak lama sehingga dikejutkan oleh suara batuk ahli keluarga yang lain. Azlan tertunduk malu bila menyedari semua mata memerhati gelagat mereka.
“Terima kasih sebab jaga saya selama saya terlantar tidak sedarkan diri.” Suara gemersik menampar cuping telinganya. Azlan tersenyum mesra ke arah gadis tersebut. ‘Inikah Erma tu. Lain betul dari yang selalu aku tengok. Dia nampak lebih cantik dan wajahnya juga lembut dan tenang,’ Azlan berbisik di dalam hati.

“Tak perlu terima kasih. Saya ikhlas dan juga rasa bersalah menyebabkan awak terlibat dalam kemalangan hari tu.” Azlan berkata perlahan. Mereka yang lain tersenyum melihat gelagat Azlan yang pemalu itu. Erma turut tersenyum.
“Memang betul apa yang mereka cakap tentang awak.” Erma bersuara manja. Azlan terpinga-pinga dan mereka yang lain tergelak.
“Susah nak jumpa lelaki pemalu ni.” Farhan adalah orang pertama yang mengusik Azlan. Azlan hanya mampu tersenyum bila dirinya di usik oleh mereka semua. Gelak ketawa bergema di rumah banglo itu.
Azlan menghampiri Erma yang sedang duduk merenung bintang di langit.
“Berapa jumlah bintang tu?” Soalnya lembut. Erma tersentak lalu menoleh. Dia menghadiahkan senyuman paling manis buat lelaki itu. Hatinya tiba-tiba rasa berdebar-debar saat menatap wajah bersih dan tenang itu.
“Tak terkira saya. Awak nak tolong saya kira?” Soalnya pula. Azlan tersenyum.
“Saya pun tak terkira. Banyak sangat.” Ucapnya perlahan. Erma tersenyum.
“Kita belum berkenalan dengan betul, kan?” Erma memandang lagi wajah tampan itu. Azlan angguk kepala.
“Baiklah. Kita mulakan, saya Erma Farhana,” Erma tersenyum menanti Azlan memperkenalkan diri. Azlan turut tersenyum.
“Azlan Syah. Orang panggil Azlan atau Lan. Ahli keluarga saya panggil Syah,” Azlan tersenyum manis.
“Owhhhh… Saya suka nama Syah tu. Boleh saya panggil awak Syah?” Soal Erma meminta kebenaran. Azlan tersenyum.
“Tapi itu untuk ahli keluarga saya sahaja,” Azlan sengaja mengusik Erma. Erma terdiam seketika. Kemudian dia bersuara.

“Kalau macam tu, saya nak jadi ahli keluarga awak juga. Saya nak panggil awak…… Abang Syah.” Erma membalas renungan Azlan. Debaran di hati masing-masing semakin kuat. Erma akhirnya mengalah.

“Takpelah. Kalau awak tak sudi saya panggil awak dengan nama tu,” Erma berkata perlahan pura-pura merajuk bila melihat Azlan mendiamkan diri. Azlan garu kepala yang tidak gatal.
“Ok. Awak boleh panggil saya macam tu. Adik saya pun panggil saya macam tu. Apa kata awak jadi adik saya?” Erma tersentak dan mendongak wajah Azlan. Beberapa minit kemudian Erma berdiri lalu beredar. Azlan hairan melihat tingkahlaku Erma yang tiba-tiba berlalu meninggalkannya. Azlan mengekori langkah Erma masuk ke rumah juga.
“Pak cik, mak cik, saya balik dulu.” Azlan meminta diri setelah agak lama singgah di rumah tersebut. Erma langsung tidak menjenguk semasa Azlan balik. Azlan pula tercari-cari wajah manis itu namun hampa.
Sebulan telah berlalu semenjak Azlan menziarahi keluarga Tuan Hj.Rashid. Namun bayangan wajah Erma masih segar diingatan.

‘Tak mungkin aku ada perasaan istimewa padanya. Terlalu capat dan aku sudah serik, kalau boleh aku tidak mahu bercinta dengan anak orang kaya,’ Azlan merenung kegelapan malam di hadapan rumah sewanya. Dan semenjak itu, dia menyibukkan diri dengan tugasan pejabat dan berusaha keras untuk berjaya kerana dia hendak membeli rumah pula. Bagi Azlan, dia berazam untuk mengumpul harta sebelum mendirikan rumahtangga. Kalau boleh, dia tidak mahu bakal isterinya susah payah mencari rezeki bersamanya.

*********************
“Lan, bila lagi nak datang ke rumah? Mak cik kamu dah bising, katanya pak cik tak jemput kamu ke rumah.” Tuan Hj.Rashid berkata perlahan semasa mereka menjamu selera di restaurant.
“Saya sibuk sejak kebelakangan ni. InsyaAllah, bila selesai kerja saya, saya akan jenguk mak cik sekeluarga.” Azlan tersenyum.
“Apa kata, Lan bekerja dengan pak cik je. Tolong pak cik uruskan syarikat tu. Nak harapkan abang Farhan kamu, dia tak minat langsung nak menguruskannya. Suami Hanis tu pun, sibuk dengan perniagaannya sendiri. Kalau kamu nak, pak cik akan beri jawatan pengurus kepada kamu.” Azlan tersentak. Namun, kemudian dia angkat muka dan menggeleng kepala.
“Maaf pak cik. Saya tak dapat terima. Saya tak layak menjawat jawatan tersebut. Lagipun, saya tak mahu mengambil kesempatan. Biarlah saya berjaya kerana usaha saya sendiri. Baru saya rasa puas hati,” Azlan berkata perlahan. Tuan Hj.Rashid angguk kepala menghormati pendirian Azlan.
“Baiklah. Pak cik tak nak paksa kamu. Tapi kalau kamu ubah fikiran, pintu syarikat pak cik tu sentiasa terbuka untuk kamu,” Tuan hj.Rashid memandang wajah Azlan.

************************* 

***bersambung

No comments:

Post a Comment