klik untuk ke blog di alam angker

Monday, February 21, 2011


Orang Cina Di Malaysia Tidak Pernah Ditindas!


Saya tertarik untuk berkongsi dengan para pembaca blog saya berkenaan sebuah rencana menarik tulisan Fareed Dawood dari portal Malaysia-Intinct. Elok rasanya direnungi dan diinsafi. SEMALAM AKHBAR UTUSANmenyiarkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia dengan 8 daripadanya adalah dari kaum Cina, seorang Melayu dan seorang India sekali gus membuktikan bahawa kecaman dan kritikan beberapa pihak bahawa kepimpinan dan polisi-polisi di negara ini telah menganaktirikan atau menindas kaum bukan Melayu adalah tidak berasas langsung. Malah apa yang jelas, kaum yang paling kuat merungut dan tidak berpuas hati, iaitu kaum Cina merupakan kaum yang memegang bahagian paling besar dalam pemilikan kekayaan negara.

Begitupun mereka, termasuklah beberapa media asing yang sering membantu agenda mereka untuk menguasai sepenuhnya asset negara ini terus membuat kecaman, kritikan dan tuntutan kerana tidak puas hati dengan bantuan kerajaan terhadap kaum Melayu dan Bumiputera. Sedikitpun mereka tidak membangkitkan bagaimana Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang memberi mereka hak untuk mengaut kekayaan seluas-luasnya, malah juga hak untuk menubuhkan sekolah berasingan dan mengamalkan bahasa ibunda mereka sewenang-wenangnya.

Seharusnya, majalah TIMES dan beberapa media asing yang sering membawa agenda tamak kumpulan ini harus terlebih dahulu mendesak kerajaan Amerika untuk memberi hak kepada kaum Cina di Amerika untuk mengamalkan bahasa ibunda dan menubuhkan sekolah berasingan sebelum menulis apa-apa untuk mengkritik Malaysia mengenai dasar perkauman atau berat sebelah.


Namun begitu, hati kita sedikit terubat apabila akhbar Utusan hari ini menyiarkan mengenai peningkatan ekuiti bumiputera sebanyak 3% menjadikannya 22% sejak berdekad-dekad lalu yang merekodkan angka statik di tahap 19%. Ini bukan sahaja membuktikan bahawa dasar-dasar kerajaan selama ini memberi kesan, tetapi juga membuktikan keupayaan kepimpinan Najib. Tun Dr. Mahathir sendiri telah berkali-kali menyatakan kekecewaan dalam mengakui kegagalannya membantu bumiputera menjadi sebagaimana yang diharapkannya iaitu agar mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain. Segala desakan, tangisan, rayuan dan sindiran beliau selama 22 tahun seolah-olah tidak memberi kesan langsung.

Namun, sedar atau tidak kesedaran tersebut sebenarnya ada, cuma generasi yang tersedar itu baru sahaja mencapai usia di mana mereka mampu membuat sedikit peningkatan. Jika tiada kesedaran dan semangat di kalangan rakyat yang menghayati kesungguhan dan keikhlasan Tun Dr. Mahathir, menyusun program yang paling baik juga tidak akan membawa apa-apa perubahan. Begitu juga sebaliknya iaitu jika rakyat punya kesedaran tetapi tidak punya peluang untuk memajukan diri juga tidak akan mengubah apa-apa.

Program-progam transformasi Najib nampaknya tepat pada masanya. Mereka-mereka yang sedar kini mendapat peluang memajukan diri dan lebih dari itu, peluang itu juga datang bersama program transformasi yang utuh dan jitu. Hasilnya nampaknya mula terserlah sedikit demi sedikit. Kini, Najib sudah boleh menarik nafas lega kerana terbukti transformasinya telah berjaya. Langkah seterusnya ialah memantapkan dan meluaskan program transformasi ini bermula hari ini.

Ini kerana, generasi yang telah sedar tersebut mungkin tidak dapat melakukan peningkatan drastik terhadap ekonomi kaum Melayu secara keseluruhan dalam masa yang singkat. Mengubah nasib seseorang mungkin dapat dilakukan dalam sehari dua tetapi mengubah nasib satu kaum akan mengambil masa berdekad-dekad. Apa yang penting ialah generasi ini telah menanam kesedaran yang sama di kalangan anak-anak mereka yang akan mewarisi negara ini di masa depan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua agar memastikan perjalanan yang jauh ini tidak terkeluar dari landasan.

Kepada generasi akan datanglah kita letakkan harapan untuk terus meningkatkan kedudukan bangsa kita dalam ekonomi seterusnya semua aspek kehidupan. Sasaran 30% pemilikan ekuiti bumiputera pasti akan perlu dipertingkatkan lagi kepada 50% atau lebih, dalam sedikit masa lagi.

No comments:

Post a Comment