klik untuk ke blog di alam angker

Wednesday, November 11, 2009


Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin 

http://drmaza.com

(Antara artikel lepas (Jun 2008) yang menyebabkan Dr. Asri tidak disenangi oleh sesetengah pihak agama dan politik)

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).
Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

 
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?
Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.
Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.
Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.
Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

****fikir fikirkan lah................

Tuesday, November 10, 2009

ALiA
bahagian 2/37 

oleh kaira_syuma
http://hasilpenulisanku.blogspot.com/





"cinta dan pesahabatan....andai cinta itu mungkin akan memisahkan kita....biarlah tali persahabatan aku hulurkan.....semoga segala kenangan itu hidup bersama"



“Oiii lima dara pinggitan. Cepat sikit tukar pakaian tu, nanti habis nasi korang aku sapu,” Fizan menjerit ke arah mereka berlima.


“Makanlah kau sorang, biar badan kau semakin gemuk. Macam badak,” Sara membalas laungan Fizan. Alia, Maziah, Imah dan Ros ketawa sakan. Fizan buat muka selamba.


Dari jauh sepasang mata memerhati gelagat mereka dengan perasaan jengkel.

“Agaknya pasangan kekasihlah tu, masih belajar pun dah nak berkasihan, nanti gagal menyesal,” Luahnya sinis.

“Apa yang kamu merepek tu Syah?” Suara puan Hamidah menegur anak terunanya.

“Takde apa-apa, Ma,” Jawabnya gugup.


“Mereka semua memang macam tu, sentiasa gembira. Tapi pelajaran mereka tetap bagus setiap penggal. Sambil main, mereka buat teamwork. Study sama-sama,” Puan Hamidah memuji anak-anak muridnya.

“Tapi Ma, bila ramai sangat macam tu, Syah nampak mereka lebih banyak bermain dari belajar. Syah pun pernah lalui zaman sekolah macam mereka tu, semakin ramai kawan, semakin Syah leka,” Syah Aiman menyuarakan pendapatnya.


“Syah, dulu Syah bersekolah kat Bandar, sekolah campur pulak tu, hiburan senang dapat, kat sini mereka terkurung, 2 minggu sekali baru balik kampong. Mana sama dengan zaman kamu, lagipun zaman kamu tu, dah lapan tahun berlalu,” Puan Hamidah berleter panjang lebar.


“Minggu depan Syah mengajar kelas mereka kan, Ma?” Syah memandang wajah ibunya. Puan Hamidah angguk kepala.


“Mama nak ingatkan kamu, jangan terlalu tegas sangat kat budak-budak tu,” Pesan Puan Hamidah. Minggu depan merupakan minggu pertama Syah mengajar di Sekolah Menengah Air Putih sebagai guru sandaran selama 2 bulan.

“Mama nak tau, tengahari tadi, sorang budak perempuan tu, dia terlanggar saya masa mereka balik sekolah. Saya marah dia, lepas tu saya pulak yang kena marah. Sakit hati saya dibuatnya,” Syah menceritakan kejadian tengahari tadi kepada ibunya.


“Ye ke? Tu yang kamu bengang?” Puan Hamidah geleng kepala sambil tersenyum.

“Agaknya kamu marah dia tak tentu pasal kan?” Soal ibunya sambil merenung wajah kelat anaknya.
“Mana ada. Dia yang langgar saya. Lepas tu minta maaf, tapi macam tak ikhlas. Siap panggil Syah monyet lagi.” Syah membela diri.


“Apa? Dia panggil kamu monyet? Memang pun nampak macam monyet. Rambut panjang, jambang sana sini,” Puan Hamidah ketawa. Setelah gelaknya reda Puan Hamidah menyambung lagi.


“Biarlah. Mereka tu masih budak-budak,” Syah geleng kepala dengan jawapan ibunya.


“Macamana mama jadi Pengetua? Kalau mama tak tegas dengan mereka tu, nanti naik kepala pulak. Mereka tu bukan budak lagi. Tahun ni tahun akhir mereka ma,” Syah kesal dengan sikap lemah lembut ibunya dalam menangani masalah pelajar.


“Kamu jangan risau. Mereka tu tidak mendatangkan masalah kepada pihak sekolah. Malah mereka juga selalu menabur jasa untuk sekolah kita,” Puan Hamidah membela anak-anak muridnya. Syah mengeluh.


“Siapa yang marahkan kamu tu?” Soal Puan Hamidah lembut bila melihat anak bujangnya mendiamkan diri.


“Budak tu, sampai bila-bila pun Syah akan ingat dia, Ma. Bentuk muka dia bulat tapi kecil, dagu dia runcing sikit. Bibir kecil dan mata dia galak. Ala-ala pelakon China yang namanya Vicki Zhou Wei tu. Pelakon cerita ‘So close’ tu. Cantik tapi perangai teruk,” Syah memandang jauh ke hadapan.



“Syah……. Kalau dia, memang mama tak hairan dia marah kamu.” Puan Hamidah tersenyum. 


“Budak tu yang kamu maksudkan?” Puan Hamidah muncung mulut ke arah sekumpulan pelajar yang baru balik dari dewan makan. “Yang pakai t-shirt warna biru tu?” Soalnya lagi. Syah angguk kepala. Ketawa Puan Hamidah kedengaran.


“Apa yang lucu sangat tu, Midah?” Syah dan Puan Hamidah menoleh ke belakang. Datuk Zamri sedang menghampiri mereka. Bapa kandung Puan Hamidah yang sudah bersara dari dunia perniagaan turut serta bercerita.


“Takde apa-apa, yah. Ni, cucu ayah ni, kena marah oleh Alia,” Puan Hamidah menerangkan keadaan sebenar kepada ayahnya.



“Kenapa dengan Alia tu, dia buat hal ke?” Tanyanya pelik. “Aiksssss… Atok kenal budak tu?” Syah kehairanan.


“Laa… Tak kan atok tak kenal dia, setiap petang dia tolong atok cabut rumput kat halaman rumah ni. Sekarang je dia dah tak tolong lagi. Sibuk dengan aktiviti sukan dia,” Puan Hamidah tersenyum melihat gelagat anak bujangnya yang jelas tidak puas hati.


“Tengahari tadi dia marah saya, tok. Siap tendang kaki saya. Ganas betul budak tu,” Syah masih marah.

Mana taknya, sudahlah kena langgar, kena marah kemudian kena sepak kaki pulak. Seumur hidup dia tidak pernah kena sepak, bila umur masuk 25 tahun, dalam sejarah hidupnya, semua perkara yang memalukan terjadi.

Fikirannya melayang teringat kejadian satu jam yang lalu. ‘Dia malukan aku depan budak-budak sekolah. Sudahnya, aku mengajar kelas mereka, Aduh!!!!,’ Syah garu kepala yang tidak gatal. ‘Monyet? Aku yang hensem ni, dia panggil monyet.

Tak pe. Kau tunggu ye. Suatu hari nanti aku balas,’ Syah berazam untuk membalas dendam.

Friday, November 6, 2009

KEMBALI PULANG
BAHAGIAN 7

oleh kaira_syuma

http://hasilpenulisanku.blogspot.com/






“Tu macam lelaki yang pengsan tadi. Betulkan? Dia kenal dengan Lan,” Zuriana berdiri disisi Mira. Mira angguk kepala.

“Biasalah. Mungkin kawan lama dia,” Mira tidak mengendahkan Zuriana yang asyik memerhati Azlan dan Akmal.

“Mira, dia asyik tengok kau, agaknya dia berkenan kat kau tak,” Mira angkat muka memandang ke arah Azlan dan Akmal. Dari jauh dia melihat Azlan angkat tangan melambai kearahnya. Mira membalas dan tersenyum.

“Dia yang langgar aku masa kat tandas hari tu,” Mira membuka rahsia.

“Ye? Aihhhhh…Dia ada minta maaf tak?” Mira angguk kepala.

“Dia datanglah, Mira.” Mira meneruskan bacaannya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.

“Mira, Zu, kenalkan ni kawan lama aku. Akmal,” Azlan memperkenalkan mereka. Mira tersenyum.

“Zuriana,” Zuriana menyalami tangan Akmal.

“Sebenarnya kami dah kenal masa aku kat bilik rawatan tadi,” Mira dan Akmal berbalas senyum.

“Iye. Ha…Kalau kau berdua nak tahu, ni kawan baik aku masa kat kampung dulu,” Azlan menepuk bahu Akmal. Mira dan Zuriana angguk kepala.

“Akmal,” Akmal berpaling bila mendengar suara seseorang memanggilnya.

“Ok. Az, aku pergi dulu. Mereka dah panggil tu,” Akmal bersalaman dengan mereka sebelum beredar. Sekali lagi Akmal berpaling ke arah Mira.

“Dia kawan aku semasa di tingkatan 3 dulu. Dia bijak malah aktif dalam sukan dan persatuan kat sekolah lama kami. Mira, apa pandangan kau pada Akmal tu? Ok tak?” Mira angkat muka. Tidak faham dengan soalan dari Azlan.

“Sesuai dengan rupanya. Tentu ramai peminat. Tapi aku yakin dia bukan jenis lelaki yang sukakan perhatian,” Ucap Zuriana perlahan. Mira menoleh ke arah temannya.

“Kenapa?” Zuriana kerutkan dahi bila Mira memandanganya dengan riak keliru.

“Salah ke, apa aku cakap?” Mira geleng kepala.

“Hermmmm…Bagi aku pula…dia..tak seperti lelaki yang pernah aku kenal,” Mira menjawab perlahan. Zuriana dan Azlan memandang wajah Mira.

“Maksud kau?” Zuriana garu kepala. Mira mengeluh.

“Kenapa aku perlu jawab soalan korang berdua ni?” Mira bercekak pinggang. Zuriana dan Azlan tersengih.

“Kenapa kau rasa dia lain dari yang lain?” Zuriana masih tidak mengalah. Mira mengeluh. Rakannya itu tidak akan berhenti bertanya selagi dia tidak menerangkan satu persatu.

“Tadi masa kat dalam bilik rawatan, ada beberapa orang pelajar perempuan datang tolong dia. Ada yang urut kaki, ada yang tolong kipas dia. Tapi aku tengok, dia macam tak selesa dilayan macam tu,” Azlan dan Zuriana angguk kepala.

“Bagi aku, dia memang ok. Punya ciri-ciri lelaki idaman.” Zuriana menjawab lantang.

“Kau? Semua ok.” Azlan menolak bahu Zuriana.

“Ehhhh….Siapa cakap? Kau tak ok aku tengok,” Zuriana berkata jengkel. Azlan mencebik. Mira tersenyum.

“Mira, Akmal tengok kau lagi tu,” Azlan mencuit bahu Mira. Dari jauh, Akmal melambai tangan dan tersenyum padanya. Tanpa sedar, Mira turut membalas lambaian tangan itu dan tersenyum.

“Wah!!!!!! Hensemnya. Mira, beruntungnya kau, dapat menerima senyuman mahkluk Tuhan itu. Aku yakin dia memang lain dari yang lain. Jika tidak, orang berhati batu kat sebelah aku ni, takkan senyum lebar macam tu.” Zuriana sentuh pipinya.

“Kau ni kenapa? Angau?” Mira ketuk kepala Zuriana. Zuriana muncung mulutnya

“Hai… Mira.” Mira dan Zuriana serentak berpaling ke arah empunya suara yang meyapanya.

“Errrr…Mira. Aku pergi dulu. Jumpa kawan.” Azlan segera beredar bila Mazlan menghampiri Mira. Mereka memang tidak sebulu. Mazlan cemburu melihat Mira melayan Azlan dengan baik. Sedangkan, dengannya pula, layanan Mira sangat dingin. Padahal, dia merupakan pelajar lelaki yang popular di sekolah. Bagi Mira pula, dia lebih suka berkawan dengan orang yang benar-benar ingin menjadi kawannya tanpa ada niat lain.

“Macamana tugas hari ni? Ok?” Mazlan menatap wajah cantik itu. Sehari tidak menatap wajah cantik itu, harinya seakan tidak lengkap. Mereka berjalan perlahan menuju ke bas yang sedang menanti mereka.

“Macam hari biasa jugak.” Jawabnya lemah. Sebenarnya, Mira tidak selesa bila bersama Mazlan kerana mata lelaki itu sering memerhatinya. Beberapa langkah kemudian, Mira menoleh ke arah Akmal dan rakan-rakannya. Akmal masih memandangnya. Mereka berbalas senyuman.

Akmal memandang dengan satu perasaan yang sukar untuk dia tafsirkan bila melihat Mira berjalan beriringan dengan seorang pelajar lelaki yang boleh tahan paras rupanya. Tetapi kemudian dia tersenyum bila Mira menoleh kearahnya dan tersenyum manis padanya.

“Malam ni kita keluar, nak tak,” Mazlan mencuba nasib. Mira tersentak dan segera berpaling ke arah Mazlan yang berada disisinya.

“Tengoklah. Kalau rajin,” Jawabnya sambil tersenyum nipis.

“Ok. Nanti kita jumpa lagi. Cikgu dah panggil tu,” Mira angguk kepala. Beberapa kali Mazlan menoleh ke arah Mira. Berharap gadis itu memandang kearahnya, namun dia hampa kerana Mira sedikit pun tidak menoleh kearahnya.

“Kau ni, kan, memang berhati batu. Kalau perempuan lain, dah cair dibuatnya. Kau, makin keras hati aku tengok. Kenapa kau tak suka kat Mazlan tu?” Zuriana bertanya pelik. Pelajar perempuan yang lain, berebut-rebut ingin menarik perhatian Mazlan. Pelajar yang berbakat dalam pelbagai bidang di sekolah mereka. Selain pemain bola sepak, ketua pegawas, dia juga pelajar harapan sekolah tersebut.

“Aku tak minat. Tu je,” Jawabnya ringkas.

“Mesti ada sebab kenapa kau tak minat kat dia. Atau, kau sebenarnya dah berpunya,” Zuriana menolak bahu Mira. Mira menjeling sekilas.

“Mana ada. Kau ni…..kalau semua berebut nak mengorat orang yang hensem, kasihan pulak aku tengok orang yang tak hensem. Takde peminat,” Mira tersenyum nipis.

“Ye ke? Atau, kau berkenan dengan kawan Azlan tadi tu. Dia nampak macam ok je,” Zuriana mengunyah burgernya.

“Dia memang hensem dan nampak ok. Dia pun ramai peminat tau. Kenapalah, perempuan suka sangat kejar orang yang hensem ni, ye?” Mira geleng kepala.

“Kat dunia ni, semua orang berlumba-lumba nak cari sesuatu yang nampak bagus. Perempuan cari lelaki hensem, lelaki nak cari perempuan cantik. Dah lumrahnya begitu,” Zuriana membebel.

“Kecantikan luaran takkan kekal untuk selamanya. Yang penting hati tu, mesti baik,” Mira berkata yakin.

“Ye. Tak semua lelaki hensem tak baik, begitu juga perempuan. Kau contohnya, kau tak kisah pun berkawan dengan aku yang tak cantik ni,” Zuriana berkata perlahan. Mira pandang wajah Zuriana.

“Kau tak cantik rupanya. Aku ingatkan kau cantik. Tak naklah kawan dengan kau,” Mira berdiri dan beredar.

“Hoiii..hoi…Punyalah baik kawan aku ni.” Zuriana mengejar Mira. Mira ketawa.

“Bagi aku, semua orang cantik. Yang penting hatinya.” Zuriana geleng kepala. Mira memang lain dari yang lain. Dia berkawan dengan sesiapa saja, yang penting mereka tidak mengambil kesempatan diatas kelemahan orang lain.