klik untuk ke blog di alam angker

Thursday, March 4, 2010

TAKDIR 

episode 8




“Budak tu dah melampau. Dia nak kereta merah I tu. You kan tahu, I memang sayang sangat kereta tu. Dia memang sengaja nak buat I marah kemudian lepaskan dia supaya dia dapat berkahwin dengan budak lelaki tu,” Azmy meluahkan kemarahannya. Mira hanya senyap mendengar suaminya meluahkan perasaan marah.


“Bagi je lah. Lagipun, you bukan selalu sangat guna kereta tu.” Mira berkata tenang.
“Yang penting dia jaga mama dengan baik.

Doktor kata, kaki mama tu, dah ada perubahan sikit. Sementara tu, kita ikut apa saja permintaan dia,” Mira menenangkan suaminya. Bagi Azmy pula, dia bukan marah kerana kereta itu, tetapi dia marah bila memikirkan masa akan datang. Sekiranya kaki mamanya sembuh, Shima akan minta cerai, kemungkinan besar ketika itu, Yusri akan melamar Shima. Kereta itu akan menjadi milik Shima dan Yusri. Itu yang dia tidak mahu. ‘Nampaknya aku kena rancang sesuatu. Dia boleh ambil kereta tu, tetapi, bila dia minta cerai kelak, kereta tu akan dikembalikan pada aku. Ye…. Macam tu baru adil,’ Azmy tersenyum puas.

“Ok. I akan serahkan kereta tu pada dia,” Azmy mencapai telefon bimbit dan kunci keretanya.
“You nak ke mana? Dah larut malam ni,” Mira menegur Azmy. Azmy hanya tersenyum. “Ada hal kejap. Nak pergi rumah mama,” Azmy terus berlalu. Mira mengeluh berat. Semenjak akhir-akhir ini, kelakuan Azmy semakin sukar untuk di jangka.
Azmy masuk ke rumah sebaik sahaja pintu di buka. Wajah mengantuk Shima direnung tajam. Ketika itu Shima menggunakan baju t-shirt ketat dan berseluar track-suit. Dengan rambut yang berserabut.
“Apa hal datang malam-malam buta ni? Orang nak tidur pun tak dapat,” Shima berlalu ke sofa di ruang tamu lalu rebah semula. Mengantuk matanya belum hilang lagi. Dia hanyut seketika sehingga dikejutkan oleh Azmy. Shima terpinga-pinga memandang sekeliling, bila sedar Azmy sedang merenung wajahnya, Shima menolak tubuh yang semakin dekat itu.
“Apa awak nak buat ni?” Soalnya garang sambil renungan tajam dihadiahkan kepada Azmy. Azmy geleng kepala dan menyumpah diri sendiri kerana hampir tewas dengan nafsu sendiri. Azmy tergoda bila melihat Shima yang nyenyak tidur di sofa seperti anak kecil.
“Saya nak bagi tahu awak. Awak boleh ambil kereta saya tu, tapi dengan satu syarat, kalau awak tinggalkan saya kelak, kereta tu kena tinggal jugak,” Azmy memandang wajah Shima. Shima berfikir sejenak.
“Ok. lagipun, saya hanya perlukan kereta tu, untuk bawa mama awak ke hospital. Tak perlulah asyik nak meyusahkan awak. Bila kita dah takde apa-apa kelak, saya pun tak perlukan kereta tu,” Shima menjawab malas. Beberapa kali dia menguap. Latih betul bila melayan Pn.Aznah yang kadang-kala berperangai seperti budak-budak. Lebih-labih lagi, siang tadi dia juga menjaga Amri. Kanak-kanak yang terlalu aktif itu juga membuatnya letih sangat.
“Pergilah tidur.” Azmy menyuruh Shima tidur semula.
“Er…Macamana nak tidur, awak belum balik lagi. Siapa nak kunci pintu tu?” Shima menjawab berang.
“Saya tidur di sini malam ni,” Azmy segera mengunci pintu . Shima tercengang.
“Hello, Ye I tahu. I tidur di rumah mama malam ni,” Shima berlalu bila mendengar Azmy sedang bercakap di telefon.
Baru saja Shima hendak melelapkan matanya, dia duduk tegak bila pintu bilik dibuka. Azmy dengan selamba masuk tanpa disuruh. Shima hanya memerhati tingkah laku Azmy yang selamba itu.
“Kenapa awak tidur di sini?” Soalnya hairan. Azmy hanya mediamkan diri dan terus merebahkan badannya di sebelah Shima.
“Awak dah gila ke?” Soal Shima tidak puas hati.
“Tidur lagi. Saya letih ni,” Shima menolak tubuh Azmy supaya menjauhinya. Namun Azmy mengeraskan badannya. Akhirnya Shima mengalah. Mata yang mengantuk dan badan yang letih membuatkan Shima tidak larat hendak bergaduh. Akhirnya dia terlelap lagi.
‘Keras betul bantal ni,’ Shima menepuk beberapa kali bantal yang dipeluknya. Namun beberapa ketika kemudian dia membuka matanya sambil mengosok mata yang masih mengantuk.
“Aihhh… Kenapa bantal ni keras semacam je?” Shima berkata lemah. Beberapa minit kemudian dia terdengar suara lelaki ketawa.
“Apalah Shima ni. Mengigau awal pagi ni. Ni bukan bantal, tapi suami awak tau.” Azmy memeluk erat tubuh Shima.
“Hahhh!!!!! Awak? Errrr…kenapa awak ada kat sini?” Soalnya keras sambil berusaha melepaskan diri dari pelukan Azmy. Azmy tersenyum bahagia namun untuk melepaskan Shima dari pelukannya, dia rasa sayang. Dia semakin mengeratkan rangkulannya sehingga membuatkan Shima lemas.
“Errrrr. Awak, lepaskan saya. Ingat, awak tak boleh sentuh saya,” Shima mengingatkan Azmy tentang perjanjian mereka.
“Lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin halal melakukan apa saja. Maknanya, saya boleh sentuh awak dan buat apa saja yang saya suka. Kerana awak isteri saya.” Azmy mencium dahi Shima.
“Gila!!! Lepaslah. Kalau tak, saya menjerit,” Azmy hanya berwajah selamba. Tiba-tiba pintu bilik di buka dan Amri terus masuk lalu melompat ke atas katil sehingga membuatkan Azmy melepaskan pelukannya lalu memeluk erat tubuh Amri. Shima mengeluh lega.
“Abah tidur kat sini malam tadi ye,” Soal anak kecil itu ramah sekali.
“Ye. Rindulah dekat Amri. Amri ok tak kat sini? Ibu ada marahkan Amri?” Soal Azmy sengaja hendak menyakiti hati Shima. Shima menjeling tajam wajah selamba itu. Ketika itu Azmy mengenyit matanya hingga membuatkan wajah Shima merona merah bila teringat kejadian sebentar tadi. Nasib baik Amri datang, jika tidak, dia tidak tahu apa lagi yang akan Azmy buat keatasnya.
“Tak. Ibu sayang Am, ibu kata, kalau Am nakal, nanti ibu tak sayang Am. Kalau abah nak ibu sayangkan abah, abah jangan nakal tau. Tentu ibu sayang. Betulkan bu?” Shima tersentak mendengar pertanyaan anak tirinya itu. ‘Apa yang dia tahu,’ Shima hanya angguk kepala. Azmy tersenyum.
Sepanjang hari Azmy melayan kerenah anak tunggalnya. Manakala Shima membawa Pn.Aznah ke pantai untuk mencuba perubatan melalui pasir pula. Semenjak ada alat yang membantu Pn.Aznah berjalan, Shima semakin bersemangat untuk menyembuhkan kaki ibu mertuanya itu. Bukan kerana habuan yang menanti, tetapi kerana dia sudah tidak sabar lagi untuk meninggalkan keluarga tersebut.
******************
“Assalamualaikum,” Shima terkejut bila mendengar suara lelaki memberi salam padanya pada petang itu.
“Waalaikumsalam. Ye? Ada apa?” Soalnya harian. Lelaki tersebut tersenyum manis. “Saya jiran sebelah. Tu rumah saya. Awak ni jururawat mak cik Aznah?” Soal lelaki itu tanpa memperkenalkan dirinya. ‘Alamak!!! Aku nak jawab apa ye?’ Shima garu kepala. ‘Jawab je apa-apa.’ Bisiknya perlahan.
“Ye. Encik kenal keluarga Pn.Aznah?” Soalnya ramah. Lelaki tersebut tersenyum. Dan senyumannya sungguh menawan. Kalau orang lain, tentu sudah syok sendiri, tetapi bagi Shima, wajah tampan seperti itu mempunyai niat jahat.
“Owhhh. Kenal. Saya ni kawan rapat Azmy. Nama saya Isham. Panggil Sham je. Awak?” Isham menghulur tangan. Shima tersenyum namun tidak menyambut tangan Isham. “Shima,” Shima menjawab tenang. Isham tersenyum malu bila tangannya tidak disambut oleh Shima.
“Saya masuk dulu ye. Dah lewat ni,” Shima beredar setelah memberi salam. Isham hanya memandang hampa Shima yang berlalu pergi. ‘Takpe. Aku mesti berjaya pikat dia nanti,’ Bisiknya dengan semangat yang tinggi.

Tuesday, March 2, 2010

ALiA
bahagian 31


oleh kaira_syuma
http://hasilpenulisanku.blogspot.com/
 


"cinta dan pesahabatan....andai cinta itu mungkin akan memisahkan kita....biarlah tali persahabatan aku hulurkan.....semoga segala kenangan itu hidup bersama"

Hari-hari yang dilalui oleh Alia semakin mencabar. Semenjak Suriani dijaga oleh pengasuh yang diupah oleh Alim, Alia mendaftar di sebuah hospital menjadi sukarelawan yang menjaga kanak-kanak sakit. Alia senang dengan kerja barunya itu. Sering dikelilingi kanak-kanak. Walaupun mereka mengidap pelbagai jenis penyakit, namun mereka tetap berkawan.

“Roslan, jangan nakal. Nanti kakak tak bagi coklat. Baru tahu,” Alia menegur Roslan yang begitu suka mengusik Rosmah. Roslan yang mengidap penyakit barah hati itu sangat cerdas suka sangat mengusik Rosmah.

“Betul ke boleh makan coklat?” Roslan menghampiri Alia. Alia pura-pura tidak mengendahkan Roslan. Dia terus menghampiri Rosmah.

“Minta maaf pada Rosmah dan janji takkan ganggu dia, baru akak bagi coklat ni,” Alia bersuara tegas. Roslan menghampiri Rosmah dan menghulur tangan untuk meminta maaf. Alia tersenyum bila Roslan menurut kata-katanya.

“Terima kasih,” Ucapnya lancar sebaik sahaja coklat sampai ditangannya. Alia tersenyum. Alia memandang sekeliling. Dia hairan bila melihat kelibat seseorang sedang mengintai dari celah pintu. Dia segera menghampiri pintu. Kanak-kanak itu lari dan menyembunyikan diri di atas katil. Alia menghampiri katil tersebut.
“Hai Alia. Macamana kerja kamu. Ok. Mereka buat hal tak?” Dr.Chan bertanya lembut. Alia tersenyum.
“Setakat ni, ok. Mereka senang nak di layan,” Jawabnya perlahan.

“Errrrr..Dr.Chan, siapa budak ni? Apa penyakit dia?” Alia menghampiri kanak-kanak yang bersembunyi disebalik selimut itu.

“Owhhh… namanya Nura. Mengidap HIV positif,” Dr.Chan menghampiri katil kanak-kanak itu lalu duduk disebelahnya.

“Takpe Nura. Ni kak Alia, dia baik. Dia suka budak-budak.” Dr.Chan membuka kain yang menyelimuti tubuh kecil itu. Perlahan wajah yang comel itu menjamah pandangan Alia. Dia tersenyum manis ke arah kanak-kanak itu. Wajah yang seperti kacukan Pakistan dan England itu kelihatan takut.
“Dia faham apa yang kita cakap ke?” Alia bertanya bodoh. Dr.Chan tersenyum.
“Ye. Dia faham.” Dr.Chan menjawab tenang.

“Hai comel. Kakak ada coklat. Nak tak?” Alia cuba mengumpan dengan coklat. Kanak-kanak itu tersenyum kemudian angguk kepala. Alia menghampiri Nura. Perlahan dia mengusap rambut Nura. Terasa kanak-kanak itu begitu dekat dengannya.

“Adik siapa nama?” Alia bertanya ramah.
“Anura Najwa,” Jawabnya pantas. Alia tersenyum
“Wah!!!! Serupa dengan nama kakak.” Alia berkata perlahan sambil tersenyum.
“Betul? Nama kakak apa?” Nura bertanya girang.
“Alia Najwa.” Alia mengenggam tangan Nura.
“Tak sama. Kakak Alia Najwa, saya Anura Najwa,” Nura berkata sedih.
“Mana boleh sama 100%. Najwa tu, kan sama?” Alia memujuk Nura yang berwajah sedih.
“Saya nak suruh papa tukar nama. Nama kakak cantik. Macam orangnya jugak,” Alia ketawa bahagia. Petah sekali kanak-kanak itu bercakap.

“Umur Nura berapa tahun?” Nura terbatuk. Alia membantu Nura. Begitu payah sekali dia menahan batuk.
“Papa kata, tahun ni umur Nura masuk 4 tahun. Kakak?” Nura bertanya pula setelah batuknya reda.
“Tahun ni umur kakak 25 tahun.” Nura angguk kepala.
“Kak, bagaimana rasanya ada mama?” Tiba-tiba Nura bertanya. Alia tersentak.
“Errrr…..Nura takde mama?” Alia bertanya simpati. Nura geleng kepala.
“Tak. Nura Cuma ada papa. Nura selalu dengar kawan-kawan panggil mama. kakak ada mama?” Siapa sangka Alia sedang berbicara dengan budak yang berusia hampir 4 tahun dan cara dia bercakap tidak seperti kanak-kanak yang seumur dengannya.

“Kakak dah takde mama. Dia meninggal selepas melahirkan kakak,” Alia berkata sebak. Dia juga tiada mama, dia juga tidak tahu bagaimana perasaaan punya mama. dan semenjak berkahwin dengan Syah, barulah dia merasa kasih sayang seorang yang bergelar mama. Biarpun dia hanya mama mertua. Namun Alia bersyukur sebab dipertemukan dengan Pn.Hamidah. Dia rasa bahagia sekali biarpun selepas dia dan Syah berpisah, Pn.Hamidah sudah menganggap dirinya sebagai anak.

“Owhhhh.. pak cik Awan cakap ,mama Nura meninggal masa melahirkan Nura. Sekarang papa yang jadi mama. Papa saya baik. Dia selalu tolong orang.” Wajah Nura bercahaya bila bercerita tentang papanya.
“Owhhh..ye ke?” Alia juga teruja. Ingin mengenali lelaki yang begitu disanjung oleh anaknya. ‘Tentu papanya sakit jugak. Tapi dia memang seorang yang baik, jika masih mampu membantu orang lain,’ Alia tersenyum. ‘Adakah lelaki seperti itu?’ Bisiknya kagum.

“Ok. Nura, kakak nak jumpa mereka yang lain pulak. Nanti rajin-rajinlah sertai kami. Tentu seronok jika jumpa ramai kawan,” Alia tersenyum ramah kemudian mencium ubun-ubun kanak-kanak itu. Nura tersenyum manis dan melambai tangan.

***********************

“Awan, kau kat mana? Lamanya,” Syah mengeluh bila Awan menyatakan dia akan datang lambat.
“Ok. Takpe. Aku nak jalan-jalan dulu. Cari hadiah untuk Nura. Nanti kalau kau dah sampai, kau call aku. Ok. Assalammualaikum,” Syah memandang sekeliling. Terpaksalah dia mencari sendiri hadiah untuk Nura. Matanya liar sekali mencari kedai hadiah. Senyuman terukir dibibir saat matanya terpandang sebuah kedai anak patung. Dengan langkah yakin, Syah menuju ke arah kedai tersebut.

“Ye.. Encik, boleh saya tolong,” Seorang pekerja wanita datang menegurnya.
“Saya nak cari anak patung untuk anak saya. Saya tak tahu yang mana satu sesuai untuk dia?” Syah menyentuh beberapa buah anak patung yang tersusun kemas itu.
“Apa kata yang ni?” Jurujual itu mencapai anak beruang yang sederhana saiznya. Syah memandang patung itu dengan rasa tidak selesa.

“Tak sesuai,” Ucapnya perlahan.

Di satu sudut pulak, seorang gadis sedang leka mendengar lagu dari MP4 nya. Sambil memeluk anak patung beruang yang hampir sama besar dengannya. Leka seketika Syah melihat aksi manja gadis tersebut. Gelagatnya mengingatkan dia pada seseorang. Gadis itu meletak kembali anak patung tersebut dan beredar.
“Saya nak anak patung tu. Tolong bungkuskan dalam kotak dan hantar ke alamat ni ye.” Syah menyerahkan sehelai kertas yang tertulis alamat hospital tempat Nura berada. Dia tersenyum lagi. Setelah membayar bil, Syah berjalan perlahan mencari kerusi untuk menghilangkan penat sementara menunggu Awan datang. Syah memerhati gelagat manusia yang berbagai ragam disekelilingnya. Matanya tertarik dengan gelagat gadis yang sama dilihatnya di kedai hadiah tadi. Begitu leka melayan MP4 nya tanpa menghiraukan keadaan sekelilingnya. Syah hanya dapat melihat belakang gadis yang memakai t-shirt longgar tanpa lengan dipadankan dengan seluar slack dan tali pinggang besar melilit pinggangnya. Lagaknya seperti remaja belasan tahun. Lama Syah merenung gadis tersebut tanpa sedar telefon bimbitnya berbunyi.

“Hai…lambatnya kau jawab. Kau kat mana?” Syah garu kepala yang tidak gatal bila disembur oleh Awan.
“Sorry. Aku tak sedar tadi. Bising sangat kat sini,” Syah berbohong.
“Kau kat mana?” Awan bertanya. Syah memandang sekeliling.
“Aku kat kerusi depan kedai bunga. Kalau tak silap aku, kat tingkat 3. Aku tunggu kau kat sini.” Syah mencari kelibat gadis yang dilihatnya tadi. Namun dia hampa.

*********************************

“Cik, patung beruang yang besar tadi mana?” Alia bertanya lembut. Jurujual itu tersenyum ramah padanya.
“Maaf Cik. Patung tu dah dibeli oleh seorang lelaki untuk anaknya,” Alia mengeluh hampa.
“Betul? Ada lagi tak yang serupa dengan patung tu? Tadi saya memang nak beli, tapi saya masih ada barang lain yang saya cari. Susah jugak nak bawa patung besar tu berjalan sana sini,” Alia bersuara sedih.
“Maaf. Itu yang terakhir. Kalau cik nak, saya akan buat tempahan. Dan cik tinggal nombor telefon, nanti saya call cik, bila stok datang,” Alia angguk kepala. Biarpun sedih, tapi terpaksa juga angguk kepala. Itulah, orang cakap, bila kita sukakan sesuatu, bila jumpa je, terus sambar, kalau tak, melepaslah jawabnya. Alia mengucapkan terima kasih dan beredar dengan langkah lesu.

Monday, March 1, 2010

TAKDIR 

episode 7




Keesokan harinya Shima di hantar ke rumah orang tua Azmy. Sepanjang perjalanan mereka, Shima hanya mendiamkan diri.

“Saya nak ingatkan awak, mama saya tu emosi sikit. Dia tak dapat terima kenyataan yang dia lumpuh. Saya harap awak bersabar dengannya. Segala perbelanjaan perubatan dia akan saya tanggung. Saya minta maaf sebab lakukan ini pada awak,” Azmy berkata perlahan. Shima masih mendiamkan diri disebelahnya.
“Awak dengar tak?” Azmy bertanya keras. Shima menoleh marah ke arah Azmy.

“Saya belum pekak lagi.” Shima menjawab kasar. Dia terus melelapkan matanya. Azmy geleng kepala. Dulu wajah itu penuh dengan senyuman dan kata-kata yang lembut. Tapi kini segalanya berubah. Dia menjadi seorang gadis yang kasar, kedekut dengan senyuman, pakaiannya juga sudah tidak seperti dahulu. Kalau dulu dia sering menggunakan baju kurung dan nampak jelas keayuan diwajahnya. Tapi kini Shima lebih suka menggunakan baju t-shirt dan berseluar jean ketat. Dia nampak semakin muda dari usianya.

“Mama, kenalkan ini isteri saya, Shima,” Azmy memperkenalkan Shima kepada mamanya. Puan Aznah merenung tajam wajah menantu barunya itu.
“Apa dah jadi dengan Mira? Dia dah tak tahan nak jaga mak mertua dia yang sakit ni?” Soal Puan Aznah sinis. Dia memandang wajah Shima dari atas hingga ke bawah.
“Budak kampung yang kamu pilih? Berapa tahun umur dia ni?” Shima memandang wajah yang masih cantik itu.

“19 tahun mak cik. Owh…. Nilah orang tua yang tak mampu di jaga oleh anaknya,” Jawab Shima selamba.

“Dia bohong mama, sekarang ni dia dah 25 tahun,” Azmy menjawab keras. Shima tersenyum sinis.

“Please Shima, jangan buat macam tu. Panggil mama mulai sekarang,” Azmy berkata tegas.

“Saya gurau saja. Itupun pun nak marah. Suka hati sayalah nak panggil dia apa,” Shima duduk menyandar. Memasang earphone dan melayan lagu dari telefon bimbitnya. Azmy geleng kepala tidak menyangka Shima akan berubah sejauh itu. Azmy menerangkan serba sedikit tugas kepada Shima dan Shima hanya angguk kepala seperti burung belatuk. “Sudah?” Soalnya sambil keningnya terangkat. Shima tersenyum sinis dan berlalu ke bilik yang telah disediakan oleh Azmy. Azmy hanya geleng kepala.

Azmy mengetuk pintu bilik Shima namun tiada sahutan dari dalam.

“Budak ni. Tentu dia leka dengar muzik.” Azmy menolak pintu bilik yang tidak berkunci itu. Ketika dia masuk, Shima sedang bersembahyang Zohor. Azmy terpana seketika melihat betapa bersih dan berseri wajah itu ketika bersembahyang. Azmy segera berlalu keluar dari bilik itu. ‘Kenapa aku sanggup menganiaya gadis yang baik seperti dia?’ Bisiknya lemah.

“Mama, saya balik dulu. Nanti kalau ada apa-apa telefon saya ye,” Pesan Azmy lemah. Dia beredar meninggalkan rumah mamanya tanpa memberitahu Shima.

“Ehhhh. Mak cik, anak mak cik mana? Dah balik?” Shima bertanya selamba sebaik sahaja kakinya mencecah lantai. Pn. Aznah merenung tajam wajah menantunya itu. “Kenapa kau kahwin dengan dia?” Soalnya tiba-tiba. Shima tersentak. ‘Alamak!!!! Apa aku nak jawab? Errrr,’ Shima garu keningnya sambil berfikir keras.

“Tak tahu,” Jawabnya ringkas. Itu saja jawapan yang dapat dia bagi walaupun keinginan untuk membocor rahsia perkahwinannya sangat berkobar-kobar. Jika tidak kerana perjanjian yang dibuat, tentu rahsia itu tidak menjadi rahsia lagi.

“Tak tahu? Atau dah terdesak sangat nak berkahwin takut jadi dara tua, terima saja suami orang? Memang perempuan kampung yang tak tahu malu,” Kutuknya hingga membuatkan Shima merasa marah.

“Mak cik…” Shima berhenti seketika. ‘Buat apa aku nak layan dia? Dia sakit, suka hati dia nak kutuk aku. Yang penting orang bayar duit kat aku dan anggap saja yang dia ni pesakit mental. Tak dapat jadi nurse, jaga orang tua lumpuh pun ok jugak,’ Shima tersenyum akhirnya.

“Anak mak cik yang gatal sangat nak kahwin dengan saya. Agaknya dia dah tak larat nak jaga mak cik sebab tu dia ajak saya berkahwin, tetapi sebagai orang gaji dia. Baik tak anak mak cik tu.” Shima berkata sinis. Pn.Aznah terdiam membisu. ‘Benarkah itu yang terjadi?’ Bisiknya sangsi.

“Betul?” Soalnya ingin kepastian.

“Hahahaa. Mak cik ni, tak kan lah dia nak buat macam tu. Saya gurau aje. Dan mulai sekarang, kalau mak cik ada apa-apa hal bagi tau saya.” Shima membaca majalah yang berlambak di almari sebelah rak tv.
“Berapa lama kaki mak cik tu lumpuh?” Soal Shima ramah dan perlahan. Sememangnya Shima seorang yang lemah lembut cuma di hadapan Azmy dia menjadi kasar dan degil. “Kenapa kau nak tahu?” Pn.Aznah bertanya kasar. Pn.Aznah meneliti wajah lembut itu. “Supaya saya tahu macamana nak sembuhkan kaki mak cik tu.” Jawab Shima keras. Sakit hati bila di tanya dengan kasar oleh mertuanya.

“Kau pandai ke nak ubat kaki orang lumpuh ni? Sedang doctor pun tak dapat nak beri jaminan kaki aku ni sembuh ke tidak.” Katanya sinis.

“Semua penyakit ada ubatnya. Yang penting usaha. Kalau mak cik nak sembuh, nak berjalan macam orang lain, mak cik kena kuat dan tanam dalam diri mak cik tu, yang mak cik mahu berjalan semula seperti orang lain.” Shima memandang wajah lesu itu. Jelas kelihatan di wajah tua itu, dia sedang bersedih.

********************

Tiga bulan menjadi isteri Azmy, Shima mula merasa tenang. Lagipun Azmy jarang menjenguknya di rumah tersebut dan itu menyebabkan Shima berasa tenang dan aman. Sehingga dia terlupa yang dirinya adalah isteri orang. Pn.Aznah semakin senang di jaga dan jelas kelihatan sedikit perubahan pada wajah itu dan nampak bersemangat sedikit dari tiga bulan lalu. Setiap 2 minggu sekali, Shima membawa Pn.Aznah ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan juga nasihat dari doctor. Doctor juga menyatakan ada sedikit perubahan pada kaki Pn.Aznah. Mendengar tentang itu, Shima adalah orang yang paling gembira dan semangat untuk membantu ibu mertuanya itu semakin berkobar-kobar.

“Awak,” Shima memanggil Azmy yang sedang leka membaca surat khabar di taman rumah orang tuanya.
“Kereta merah tu, siapa yang punya?” Soal Shima perlahan. Azmy tersentak mendengar Shima menegurnya. Dengan suara lembut pulak tu, dia terasa sedang bermimpi. “Hoii..Saya sedang bercakap dengan awak ni. Awak dengar tak?” Shima melambai tangan di hadapan muka Azmy.

“Er.. Ye.. Apa awak cakap tadi?” Soalnya gugup.
“Saya tanya, kereta Farrari merah tu, siapa punya?” Shima mngulangi soalannya.
“Saya. Kenapa?” Azmy pula bertanya pelik.
“Betul? Masih elok?” Shima bertanya minat. Azmy kerutkan dahinya. Pelik melihat Shima yang tersenyum nakal.

“Ok. Saya nak motor tu. Kalau awak tak nak, saya tak nak jaga mama awak tu,” Shima membuat keputusan muktamad. Azmy tersentak. Tak mungkin dia akan menyerahkan kereta kesayangannya itu. Kereta yang dihadiahkan oleh arwah ayahnya ketika dia tamat belajar 7 tahun lalu. Mira pun tidak pernah memandu kereta tersebut, menumpang pun hanya beberapa kali. Dan semenjak mereka ada Amri, kereta tersebut masih tersadai di rumah mamanya. Tiada siapa pun berani bertanya tentang kereta tersebut. Kini, Shima meminta sesuatu yang amat disayanginya.

“Awak fikirlah dulu. Saya nak kereta tu atas nama saya. Kalau awak tak setuju, saya nak batalkan perkahwinan kita,” Dengan selamba Shima berkata. Azmy berdiri cekak pinggang sambil merenung wajah selamba Shima.
“Kenapa dengan awak ni? Dah kemaruk sangat nak jadi janda? Atau si Yusri tu dah bagi ubat guna-guna kat awak?” Azmy melenting. Shima terkejut bila Azmy memarahinya namun beberapa saat kemudian dia bersuara.
“Terpulang pada awak, nak kata apa. Yang penting saya nak kereta tu atas nama saya. Muktamad.” Shima beredar sambil menyanyi riang. Azmy berdengus geram.